PN Pahang: Calon digugurkan tak ditawar bertanding

Saifuddin (tengah) bersama barisan kepimpinan parti gabungan PN pada majlis pengenalan calon dan pelancaran jentera pilihan raya PN Parlimen Indera Mahkota di dewan Atabara di Indera Mahkota pada malam Rabu.
Saifuddin (tengah) bersama barisan kepimpinan parti gabungan PN pada majlis pengenalan calon dan pelancaran jentera pilihan raya PN Parlimen Indera Mahkota di dewan Atabara di Indera Mahkota pada malam Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang tidak pernah terfikir untuk menawarkan mana-mana penyandang kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang digugurkan oleh parti politik lain untuk bertanding atas tiket PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, pucuk pimpinan negeri terpaksa akur sekiranya Majlis Tertinggi PN sudah membuat keputusan untuk mempelawa mereka yang digugurkan itu.

"Di peringkat PN Pahang, kita tidak berfikir begitu (menawarkan kerusi bertanding) tapi kalau Majlis Tertinggi PN melihat ada kewajaran, itu semua terserah kepada majlis tertinggi.

"Ini kerana ia bukan bidang kuasa PN Pahang, jadi apa saja keputusan itu tertakluk kepada keputusan majlis tertinggi dan kami akur dengan apa sahaja keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tawaran bertanding kepada mana-mana penyandang kerusi Parlimen yang telah digugurkan daripada parti lain pada majlis pengenalan calon dan pelancaran jentera pilihan raya PN Parlimen Indera Mahkota di dewan Atabara di Indera Mahkota pada malam Rabu.

Sebelum ini terdapat khabar angin yang mengatakan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib kononnya dirisik sebuah parti politik lain selepas BN tidak mencalonkan namanya untuk PRU15.

Malah dikatakan masyarakat Orang Asli di kawasan Maran tidak akan keluar mengundi sekiranya Ismail tidak menjadi calon.

Menjawab pertanyaan mengenai pertandingan tiga penjuru di kerusi Indera Mahkota, Saifuddin menjelaskan ini adalah demokrasi dan semua orang berpeluang untuk menang.

Artikel Berkaitan:

Justeru, semua orang boleh berkempen secara sihat dan tidak memburukkan antara lawan yang lain.

"Siapa yang terbaik, mereka akan menang,dan itu hakikat yang perlu diterima," ujar beliau ringkas.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan kempen akan diadakan dalam pelbagai cara selain mendekati pengundi secara bersemuka dari rumah ke rumah.

Katanya, peranan media sosial juga penting bagi memastikan kempen sentiasa berjalan seperti mengadakan ceramah secara maya.

"Kita akan guna apa sahaja teknologi dan keadah bersesuaian bagi tujuan berkempen serta memastikan maklumat kepada orang ramai dapat disalurkan secara tepat," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!