Sambutan hari jadi McDonald’s dengan 12,000 anak yatim

A
A
A

Sambutan Hari Jadi McDonald's dimeriahkan dengan kek berhias bunga api.
Sambutan Hari Jadi McDonald's dimeriahkan dengan kek berhias bunga api.



SEREMBAN - McDonald's Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM400,000 sempena meraikan Bulan Komuniti McDonald's tahun ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, program berkenaan merupakan usaha pihaknya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, terutama kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Program ini kini memasuki tahun keenam pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada tahun 2017 dan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan setiap tahun.

"Pada tahun ini kita telah menambah penganjuran jumlah aktiviti kemasyarakatan kepada 14,000, sekali gus memastikan lebih ramai yang dapat menerima manfaat dan diraikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti McDonald's dan RHMC Malaysia di Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al-Khair di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memastikan kesejahteraan masyarakat dengan menjadi 'jiran' yang prihatin kepada golongan memerlukan.

Wajah-wajah ceria anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Jothi Viyasar Negeri Sembilan ketika Sambutan Hari Jadi McDonald's.
Wajah-wajah ceria anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Jothi Viyasar Negeri Sembilan ketika Sambutan Hari Jadi McDonald's.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, memberi impak positif dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat adalah nilai teras syarikat yang sentiasa diberi keutamaan.

"Dengan gandingan RMHC Malaysia sebagai badan kebajikan pilihan McDonald's, ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi capaian kami kepada golongan masyarakat terutamanya kanak-kanak yang kurang bernasib baik," katanya.

Memberi keceriaan

Selain itu, pihaknya juga menyasarkan untuk mengunjungi 400 rumah kebajikan bagi memberi keceriaan kepada 12,000 kanak-kanak di seluruh negeri menerusi Sambutan Hari Jadi McDonald's sepanjang Oktober ini.

Azmir berkata, McDonald's menyedari bahawa pengusaha rumah anak yatim tidak mampu meraikan kesemua penghuninya.

"Jadi dengan kehadiran McDonald's meraikan hari lahir mereka, ia dapat memberi senyuman kepada anak-anak ini. Kita turut mengadakan pelbagai aktiviti menyeronokkan buat anak-anak ini yang saya rasa ia sesuatu yang dinanti-nantikan," ujarnya.

Anak-anak dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair merupakan antara 400 rumah kebajikan kanak-kanak yang diraikan.
Anak-anak dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair merupakan antara 400 rumah kebajikan kanak-kanak yang diraikan.

Keprihatinan pihaknya terhadap anak-anak ini turut dizahirkan dengan sumbangan kemudahan tilam, bantal dan katil bagi memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang selesa.

Ujarnya, melalui RHMC, sebanyak 1,000 set tilam, bantal dan cadar telah disumbangkan kepada 20 rumah kebajikan kanak-kanak di seluruh negeri.

"Malah ketika ini, RHMC aktif menyampaikan sumbangan pek kembali ke sekolah melibatkan kira-kira 25,000 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.5 juta tahun ini.

"Sejak program ini dilaksanakan pada enam tahun yang lalu, sebanyak RM10 juta dibelanjakan dan telah diagihkan kepada lebih 120,000 kanak-kanak di seluruh negara," katanya.

Terima sumbangan peralatan

Pada program berkenaan, seramai 60 anak-anak dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair, Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan dan Pertubuhan Kebajikan Jothi Viyasar Negeri Sembilan diraikan.

Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair turut menerima 22 set tilam dan bantal baharu, manakala Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan sebanyak 20 set dan Pertubuhan Kebajikan Jothi Viyasar Negeri Sembilan sebanyak 32 set.

Anak-anak dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair merupakan antara 400 rumah kebajikan kanak-kanak yang diraikan.
Anak-anak dari Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair merupakan antara 400 rumah kebajikan kanak-kanak yang diraikan.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Jothi Viyasar Negeri Sembilan, M Bramalatha, 39, berkata, program yang dianjurkan ini sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh 32 anak-anak yatim jagaannya.

"Ini merupakan kali pertama McDonald's meraikan kami dan apabila saya beritahu perkara itu mereka sangat teruja.

"Sebelum ini ada juga anak-anak yang beritahu mahu makan McDonald's tapi kita tak mampu dan hari ini keinginan mereka nak makan McDonald's tercapai," katanya.

Pengerusi Pusat Jagaan Pertubuhan Anak Yatim Al Khair, Abd Rahman Musa, 72, berharap program seumpama ini dapat diadakan setiap tahun oleh McDonald's.

"Semua kanak-kanak sukakan McDonald's dan bagi saya apabila mereka diraikan begini ia akan menjadi satu kenangan manis dalam hidup mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!