PN pertaruh Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang di Temerloh

Hassanudin(tiga dari kiri) bersama Salamiah (tiga dari kanan) Hasan (empat dari kanan) dan Mohd Yusof(dua dari kiri) selepas majlis pengumuman calon PRU15 di Parlimen Temerloh.
Hassanudin(tiga dari kiri) bersama Salamiah (tiga dari kanan) Hasan (empat dari kanan) dan Mohd Yusof(dua dari kiri) selepas majlis pengumuman calon PRU15 di Parlimen Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Perikatan Nasional (PN) Temerloh mempertaruhkan Ketua Dewan Muslimat Pas Pahang, Salamiah Mohd Noor, 58, sebagai calon yang akan bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pemilihan anak kelahiran Temerloh itu juga melakar sejarah apabila buat julung kalinya Pas mengemukakan calon wanita bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Beliau yang juga bekas guru dan menjawat jawatan Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Dewan Muslimat Pas pusat itu turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran (Ekonomi Analisa) dari Universiti Malaya.

Menurutnya, biarpun terpaksa berdepan calon-calon lelaki yang lebih berpengalaman, namun beliau tidak gentar untuk bertanding di Parlimen tersebut.

Pelancaran markas operasi PN Temerloh pada Rabu
Pelancaran markas operasi PN Temerloh pada Rabu

"Saya tak takut dan percaya untuk bersaing bersama calon lelaki lain. Insya-ALLAH saya akan guna pengalaman yang ada untuk meraih keyakinan pengundi," katanya.

Sementara itu, tiga lagi calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut diumumkan membabitkan, Timbalan Yang Dipertua Pas Temerloh, Hasanuddin Salim (Kuala Semantan), Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Temerloh, Hasan Omar (Lanchang) dan pemangku Ketua Bersatu Bahagian Temerloh, Mohd Yusof Omar di Mentakab.

Senarai calon itu diumumkan oleh Hassanuddin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pahang pada malam Rabu dan turut dijalankan serentak pelancaran markas operasi PN Temerloh.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin memberitahu, kesemua calon terdiri daripada anak tempatan dan optimis dengan gandingan yang disifatkan terbaik buat kali ini apabila masing-masing memiliki kelebihan dan dekat dengan masyarakat.

"Medium laman sosial akan digunakan semaksimum mungkin selain pendekatan secara langsung dengan pelbagai golongan masyarakat," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!