'Jangan tutup bilik gerakan, patah semangat' - Annuar Musa

Annuar Musa - Foto Bernama
Annuar Musa - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menasihatkan semua jentera pilihan raya Parlimen Ketereh supaya tidak menutup bilik gerakan dan patah semangat meskipun beliau tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Pesan saya pada semua petugas pilihan raya...jangan gelabah, jangan tutup bilik gerakan, jangan cepat patah semangat. Kita ikuti perkembangan dengan sabar dan tabah. Setiap perbuatan mesti didahulukan dengan berfikir panjang.

"Kita ikuti perkembangan dengan tenang. Jangan lebarkan perpecahan terutama dalam kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam. Adakala kita disalahertikan, adakala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan.

"Namun, kekallah pada kebenaran dan kejujuran. Insya-ALLAH, ada hikmah di sebaliknya dan ganjaran di kemudian hari," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Khamis.

Menurut Annuar, calon Parlimen Ketereh yang juga Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin turut meminta pandangannya kerana perlu mengisi borang pencalonan hari ini.

"Jawapan saya konsisten, teruskanlah seperti biasa, sempurnakan semua urusan terlebih dahulu,” katanya.

Pada PRU14, Annuar memenangi Parlimen Ketereh dengan majoriti 4,626 undi, menewaskan pencabarnya daripada Pas dan PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!