PRU15: Amanah Perak yakin PH menang besar

Asmuni
Asmuni
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak yakin Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh majoriti besar di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, perkara itu dilihat daripada peningkatan sokongan rakyat ekoran kehadiran Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Parlimen Tambun.

"Melalui maklum balas yang diperoleh di lapangan, sokongan kepada PH mendahului parti-parti lain di sebahagian besar kerusi-kerusi DUN dan Parlimen Perak.

"Momentum ini perlu diteruskan bagi memastikan PH menang majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah berkata, PH kekal utuh sebagai satu pasukan dalam gerak kerja pilihan raya dan berada dalam landasan yang tepat untuk mencatat kemenangan pada PRU kali ini.

Tambahnya, seluruh jentera parti digesa untuk meningkatkan lagi gerak kerja di lapangan dan ruang maya kepada semua segmen pengundi di negeri ini.

Menurutnya, kesemua calon yang diketengahkan telah mula bergerak dan turun ke lapangan bagi memperkenalkan diri serta memberi penerangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan selain membentangkan gagasan Pakatan Harapan kepada mereka.

"Bagaimanapun, percubaan musuh politik yang berterusan memainkan sentimen bangsa dan agama yang sempit dalam kempen-kempen mereka amat dikesali.

Artikel Berkaitan:

"Tohmahan dan tuduhan liar yang dilemparkan jelas berbaur fitnah semata-mata untuk mendapat perhatian pengundi khususnya dalam kalangan pengundi Melayu," jelas beliau..

Asmuni berkata, pengundi perlu menilai secara objektif, gagasan yang dikemukakan dan rekod perkhidmatan partinya ketika mentadbir negeri sebelum memilih pada 19 November nanti.

"Fokus utama gerak kerja Amanah dan PH di Perak adalah mengembalikan mandat rakyat yang dikhianati pada PRU14 lalu dan mencipta sejarah dengan memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!