Juventus perlu bangkit di Liga Europa

Massimiliano Allegri
Massimiliano Allegri
A
A
A

GERGASI Serie A, Juventus digesa menjadikan penyingkiran dari Liga Juara-Juara sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih bertenaga di saingan Liga Europa.

Itu harapan pengendali The Old Lady, Massimiliano Allegri apabila kelab Itali itu melabuh tirai kempen kejuaraan tertinggi kelab Eropah di kedudukan ketiga selepas tewas kepada jagoan Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), 1-2 yang mengiringi kelab Portugal ke peringkat kalah mati.

Pada perlawanan terakhir di Stadium Juventus itu, jaringan Kylian Mbappe (minit 13) diikuti jaringan pemain gantian Nuno Mendes (69), yang sebelum itu disamakan Leonardo Bonucci (39), mengesahkan slot naib juara Kumpulan H menjadi milik anak buah Christophe Galtier.

Untuk rekod, kekalahan di Turin itu menyaksikan Juventus menjadi kelab Itali kedua yang tewas lima daripada enam perlawanan peringkat kumpulan dalam pertandingan terbabit selepas AS Roma pada 2004-05 walaupun penyingkiran The Old Ladys telah pun disahkan lebih awal.

Juventus yang memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat kalah mati di Liga Europa sebelum itu harus berterima kasih kepada Benfica apabila meledak lima gol pada separuh masa kedua menentang Maccabi Haifa untuk menghalang anak buah Allegri daripada keluar sepenuhnya dari bola sepak Eropah.

Dalam Liga Europa, Juventus dianggap antara pasukan pilihan menjulang kejuaraan tahap dua kelab Eropah itu, namun Allegri menggesa para pemainnya menggunakan kekecewaan di pentas Liga Juara-Juara sebagai dorongan mencapai keputusan yang lebih baik dalam saingan kelab itu.

"Kami bermain dengan baik, biarpun ia sesuatu yang memalukan tentang keputusan di Turin.

"Kami berada di Liga Europa, dan mulai esok kami mesti membuka lembaran baharu untuk kejuaraan.

Artikel Berkaitan:

“Di satu pihak ada sebab untuk berpuas hati disebabkan masih terdapat pemburuan di Liga Europa, sebaliknya ada kemarahan akibat penyingkiran daripada Liga Juara-Juara.

“Saya masih marah dan sangat kecewa, kami perlu membawa kemarahan ini dalam perlawanan seterusnya di Liga Europa,” katanya selepas kekalahan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!