Ismail cuba pujuk Shahidan kekal bersama UMNO
Ismail berkata, Shahidan mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan rakyat Perlis terutamanya pengundi-pengundi di Parlimen Arau.
"Saya masih belum berkesempatan untuk berjumpa dengan dia. Tapi saya nak jumpa untuk pujuk dan bincang 'heart to heart' supaya hatinya lembut untuk terus bersama UMNO.
"Apa pun keputusan yang dia buat, saya hormati. Sudah pasti dia mempunyai alasan tersendiri dan pada masa sama, saya juga sedar bahawa kepimpinan parti juga mempunyai sebab untuk menggugurkan dia pada PRU15 ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ismail turut berharap BN pusat dapat menyelesaikan isu bersama Shahidan dan menyelaraskan kembali jentera pilihan raya.
"Disebabkan Shahidan adalah Ketua UMNO Bahagian Arau, maka sukar buat calon-calon untuk menggerakkan jentera pilihan raya.
"Saya berharap, kita (BN) dapat melancarkan kembali jentera pilihan raya supaya tidak ketinggalan dari segi saingan fizikal (bendera dan jentera pilihan raya)," ujarnya.
Menurut Ismail, calon-calon BN terutama di Parlimen Arau perlu mempunyai 'kesungguhan luar biasa' untuk meyakinkan pengundi-pengundi yang selama ini sudah sinonim dengan Shahidan.
"BN mempunyai potensi untuk menang kerana jumlah pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun seramai 11,888 orang.
"Mereka ini perlu ditarik dan diyakinkan untuk memilih BN. Shahidan sudah lama mendekati kelompok ini, jadi kita perlu mempunyai kesungguhan luar biasa untuk memenangi PRU15.
"Kita mempunyai masa yang terhad. Yang mana, minggu pertama selepas penamaan akan digunakan untuk memujuk manakala selebihnya baharulah untuk berkempen," jelas beliau.
Ismail yang juga penyandang kerusi DUN Tambun Tulang sekali lagi dipilih menjadi calon BN pada PRU15 manakala abangnya, Shahidan digugurkan selepas lebih 30 tahun menjadi wakil rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!