[VIDEO] Rafizi seru semua calon parti isytihar harta

Rafizi (kiri) bersama Chean Chung selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR pada Khamis.
Rafizi (kiri) bersama Chean Chung selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyeru parti lain mencontohi parti itu yang mewajibkan calon-calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuat pengisytiharan harta.

Rafizi berkata, pengisytiharan harta itu untuk menghapuskan pandangan serong pengundi terutama pengundi muda terhadap aset yang dimiliki pemimpin.

Menurutnya, setakat ini PKR hampir selesai mengumpulkan kesemua dokumen pengisytiharan harta calon-calon parti itu sebelum ia akan dimuat naik dalam laman web.

"Saya jangka proses ini akan selesai sehari dua lagi iaitu sebelum penamaan calon dan saya jemput orang ramai untuk menyemak dari semasa ke semasa laman web ini supaya anda kenal wakil calon anda.

"Susulan itu, saya berharap supaya parti-parti lain ambil tindakan sama kerana masih belum terlambat untuk wajibkan calon isytihar harta," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung.

Pada Rabu, Rafizi yang juga calon Parlimen Pandan menjadi pemimpin PKR pertama mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta tersebut dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan PKR mewajibkan semua calon-calon PRU15 parti itu untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Rafizi berkata, pengisytiharan harta sangat penting untuk dibuat bagi memastikan jumlah keluar mengundi yang tinggi.

"Kalau nak pastikan jumlah pengundi keluar mengundi tinggi terutama dalam kalangan pengundi pertama kali, salah satu cara adalah dengan isytihar harta sebab dapat yakinkan mereka untuk mengundi.

"Di mata rakyat tidak ada dolak dalih atau alasan untuk seseorang pemimpin yang berintegriti untuk berbuat demikian," tegasnya.

Sementara itu, Rafizi turut mengumumkan parti itu akan mengadakan ceramah mega di sembilan lokasi utama di seluruh negara bermula Sabtu ini sejurus selepas penamaan calon selesai.

Menurutnya, ceramah mega yang dinamakan Ayuh Malaysia Kita Boleh itu diadakan selari dengan jelajah Pakatan Harapan (PH) tetapi ia membawa mesej dan tumpuan kepada kumpulan pengundi yang berbeza.

"Melalui ceramah mega PKR memberi tumpuan khusus kepada pengundi Melayu dan pengundi Muda.

"Jadi pengisiannya sedikit berbeza daripada jelajah PH yang memberi tumpuan kepada isu-isu keseluruhan seperti pertukaran kerajaan dan sebagainya," ulasnya.

Ujar beliau, tumpuan terhadap pengundi Melayu dan pengundi muda itu diberikan untuk membawa gelombang baharu golongan itu dalam tempoh dua minggu kempen.

Ceramah mega terbabit dijadual berlangsung di Pandan dan Tanjung Malim pada Sabtu diikuti Indera Mahkota (Ahad).

Ia diteruskan di Tangga Batu (8 November), Ledang dan Permatang Pauh (11 November), Rembau serta Kuala Langat (12 November), Merbok (14 November), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15 November), Johor Bahru (16 November) dan Tambun (17 November).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!