PRU15: Lando dedah sebab sertai Pejuang
SHAH ALAM - Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi mendedahkan hanya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang menerima tiga syaratnya untuk menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan nama Lando Zawawi itu berkata, satu daripada syarat ditetapkan adalah dia tidak akan mendaftar sebagai ahli parti politik.
Kedua, beliau juga memaklumkan sekiranya parti tersebut membentuk kerajaan, sebarang kesalahan rasuah melibatkan jumlah melebihi RM100,000 perlu dijatuhi hukuman mati.
"Rasuah di Malaysia berada dalam keadaan kritikal dan kita mahukan hukuman yang lebih berat.
"Malaysia terpaksa melaksanakan hukuman begini untuk menakutkan golongan terbabit supaya mereka tidak terjerumus dalam gejala tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujarnya, sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang, beliau ingin menjemput semua calon bertanding dengannya untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas.
Beliau berkata, ia bertujuan bagi mengumpulkan idea bersama-sama untuk majukan kawasan tersebut.
"Bukan tiada parti lain, tapi ada sebuah parti itu terkejut bila mendengar syarat kedua saya kerana pemimpinnya (didakwa) ambil rasuah.
"Jadi parti-parti lain tidak sanggup, hanya Pejuang sahaja yang boleh menerima saya.
"Jika kalah sekalipun, saya akan terus bersama dengan penyandang kerusi tersebut untuk bantu naikkan Tanjong Karang bersama-sama. Niat kami untuk membantu, bukan nak kuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!