Dzulkefly ubah keputusan tarik diri kerana Tengku Zafrul

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

SHAH ALAM - Penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad mengubah keputusan untuk menarik diri dari bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas BN mengumumkan nama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertanding di parlimen berkenaan.

Dzulkefly berkata, keputusannya untuk kembali bertanding pada pilihan raya kali ini juga adalah atas arahan pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar beliau dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14.

“Saya akan mempertahankan kerusi P096 Kuala Selangor setelah UMNO dan BN tekad menurunkan Tengku Zafrul. Oleh kerana pencabar saya seorang menteri, maka mantan menteri ini turun bertarung.

Saya kira wajar untuk saya mentaati pimpinan parti dan juga syor dari pengundi-pengundi saya yang memohon supaya saya terus pertahan kerusi ini.

"Jadi, saya sangat teruja dan mereka mahukan lagi khidmat saya sejak 2008 lagi sehingga kini. Ini kelebihan yang tiada pada Tengku Zafrul,” katanya selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Parlimen Pakatan Harapan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengulas ketika ditanya mengenai kemampuannya untuk mengekalkan kemenangan dicatat pada PRU14 yang menyaksikan beliau menewaskan calon daripada BN dan Pas dengan majoriti 8,498 undi.

"Soalan itu masih menjadi teka-teki, namun kami sudah membuat penyelidikan yang memberi petunjuk positif. Persoalan besar adalah Undi18, inilah yang menjadi penentu kerana pertambahannya lebih 33,000," katanya.

Pada Mei lalu, Dzulkefly yang juga merupakan bekas Menteri Kesihatan pernah menyatakan hasrat untuk mengundur diri dan memberi laluan kepada calon muka baharu di kerusi parlimen yang disandangnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau ditentang Tengku Zafrul dari BN manakala Perikanan Nasional (PN) pula diwakili calon Pas, Muhammad Rashid Mohd Kassim dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!