PRU15: Tak gentar walaupun Pulau Pinang kubu kuat PH

PN Pulau Pinang memperkenalkan enam muka baharu untuk bertanding pada PRU15 nanti.
PN Pulau Pinang memperkenalkan enam muka baharu untuk bertanding pada PRU15 nanti.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang memperkenalkan 13 calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini pada Khamis.

PN Pulau Pinang mempertaruhkan tujuh muka lama iaitu Datuk Mansor Othman, Hng Chee Wey, Oh Tong Keong, Datuk Baljit Singh, H'g Khoon Leng, Dr Siti Dr Mastura Mohamad dan Datuk Wan Saifulrudin Wan Jan.

Mansor dari Bersatu masih kekal bertanding di Parlimen Nibong Tebal manakala Baljit (Gerakan) yang sebelum ini bertanding di Parlimen Jelutong akan meneruskan perjuangannya di kerusi tersebut.

Siti Mastura dari Pas juga sebelum ini pernah bertanding di kerusi Kepala Batas pada pilihan raya lalu dan dalam PRU15 ini, beliau akan bertanding sekali lagi di kerusi sama.

Sementara itu, wakil dari Gerakan iaitu Chee Wey, Tong Keong dan Khoon Leng merupakan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14.

Chee Wey akan bertanding di kerusi Bukit Bendera, Tong Keong (Bayan Baru) manakala Khoon Leng (Tanjong).

Selain itu, Wan Saifulrudin dari Bersatu akan bertanding di Parlimen Tasek Gelugor.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, PN Pulau Pinang memperkenalkan enam muka baharu iaitu Oh Teik Choon dari Bersatu-Bersekutu akan bertanding di Bagan, Fawwaz Mat Jan dari Pas (Permatang Pauh), Steven Kon Tien Yew dari Dewan Himpunan Pendukung Pas (Bukit Mertajam), Wong Chia Zhen dari Gerakan (Batu Kawan), P Thinaganarabhan dari Bersatu-Bersekutu (Bukit Gelugor), dan Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid dari Bersatu (Balik Pulau).

Dominic berkata, PN tidak gentar untuk bersaing dalam gelanggang PRU15 walaupun Pulau Pinang diketahui merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

Beliau berkata, Pulau Pinang suatu ketika dahulu juga pernah menjadi kubu kuat Gerakan dan situasi itu tidak mustahil dapat diulangi semula.

"Rakyat disajikan dengan calon yang berkredibiliti bagi membolehkan mereka memilih wakil pemimpin prihatin, bersih dan stabil," katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful ketika ditemui berkata, keputusan untuk bertanding di kerusi Tasek Gelugor dibuat oleh pucuk pimpinan Bersatu.

Menurutnya, ia merupakan salah satu strategi parti untuk mempertahankan Tasek Gelugor yang kini disandang Datuk Shabudin Yahaya.

"Keputusan ini adalah daripada pucuk pimpinan dan saya mengambil ia sebagai satu tanggungjawab mencabar. Bagaimanapun, dengan tawaran diberikan, saya yakin kita akan mempertahankan Tasek Gelugor.

"Berhubung isu pemindahan kawasan Parlimen, ia perkara biasa kerana jika kita lihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun dari Permatang Pauh ke Port Dickson dan kini di Tambun. Ia tidak menjadi isu asalkan kita boleh memberi yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, calon paling muda, Muhammad Harris berkata, walaupun diapit calon senior dari parti lawan namun ia tidak memberi halangan kepadanya untuk memberi tentangan hebat dalam pilihan raya nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!