‘Parti ‘underdog’ juga boleh beri kejutan’

Wan Nazari (tengah) bersama calon GTA yang akan bertanding dalam PRU15 di Terengganu.
Wan Nazari (tengah) bersama calon GTA yang akan bertanding dalam PRU15 di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding di lapan kerusi Parlimen di Terengganu bawah nama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berazam mahu berikan kejutan walaupun dianggap sebagai parti 'underdog'.

Ketua Pejuang Terengganu, Datuk Wan Nazari Wan Jusoh berkata, tidak dinafikan masih ramai pengundi tidak mengenali GTA kerana belum diluluskan pendaftarannya namun parti itu tetap masih boleh mencipta kejutan.

“Kita bertanding bukan sekadar untuk ‘test market’ tapi untuk mengambil alih pentadbiran negeri dan seterusnya negara. Kita mahu menjadi kerajaan demi untuk selamatkan negara,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Menurut Wan Nazari, dianggarkan 50 hingga 60 peratus pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah orang muda dan pihaknya akan mendekati golongan ini menggunakan pelbagai jenis media sosial.

Beliau yang merupakan calon GTA di kerusi Parlimen Besut berkata, pihaknya juga berusaha memecahkan doktrin pengundi di Terengganu yang selama ini hanya tertumpu kepada Pas dan UMNO serta BN semata-mata.

“Kita memahami bahawa Terengganu, Kelantan dan Kedah rakyatnya didoktrin dengan parti BN dan Pas, jadi kita akan gunakan pelbagai kaedah lain kerana parti biru dan hijau hanya 40 peratus pengundinya.

“60 peratus lagi tidak tahu hijau atau biru jadi yang ini kita akan fokus kerana golongan ini masih berfikir (pilih parti mana). Kita mahu sampaikan kepada orang muda ada parti lain blok ke-3 boleh selamatkan masa depan mereka,” katanya.

Selain Wan Nazari, GTA mempertaruhkan Wan Adnan Wan Ali bertanding di kerusi Parlimen Setiu, Azaha Wahid (Kuala Nerus), Mohamad Abu Bakar Muda (Kuala Terengganu), Zarawi Sulong (Marang), Mohd Khadri Abdullah (Hulu Terengganu) dan Rosli Ab Ghani (Marang).

Artikel Berkaitan:

Parti itu turut menampilkan seorang usahawan berusia 32 tahun iaitu Nor Aisah Hasan sebagai calon wanita tunggal di kerusi Parlimen Dungun.

Wan Nazari, Wan Adnan, Nor Aisah dan Rosli merupakan wakil Pejuang manakala Azaha, Mohamad Abu Bakar, Zarawi dan Mohd Khadri dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan semua mereka bertanding atas tiket Pejuang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!