Sinar baharu calon MCA di Parlimen Kluang

Ping Sieu
Ping Sieu
A
A
A

KLUANG - Perkembangan politik di daerah ini dianggap memberi sinar dan harapan baharu kepada calon BN Parlimen Kluang, Gan Ping Sieu untuk merampas semula kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang membuat kemunculan semula selepas gagal dalam PRU14 berkata, faktor terkini situasi di daerah ini yang tidak menampakkan perubahan ketara selepas dua penggal ditadbir pembangkang memberi kelebihan kepadanya.

Ketua MCA Bahagian Kluang itu mendakwa, Parlimen Kluang sudah ketinggalan hampir 10 tahun selepas dimenangi dua calon pembangkang.

"Tiada sebarang pembangunan dilakukan sepanjang tempoh itu, malah jika ada pun hanya hasil perancangan sebelum itu yang dibawa masuk melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota ketika itu iaitu Datuk Md Jais Sarday.

"Sedangkan apa yang dimahukan oleh masyarakat setempat adalah pembangunan terutama daripada segi ekonomi yang mampu mengubah tahap kehidupan mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada PRU14, Ping Siew tewas kepada Shu Qi yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Kluang dengan majoriti 23,053 undi selain Hasbullah Najib daripada Pas.

Di Parlimen Kluang terdapat 46 peratus pengundi Cina, 42 peratus pengundi Melayu dan 11 peratus pengundi India.

Ping Sieu berkata, melihat senario tersebut, pihaknya percaya masyarakat Cina di Parlimen Kluang akan kembali menyokong BN pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keyakinan itu adalah berasas apabila melihat penerimaan masyarakat Cina selepas beliau diumumkan sebagai calon BN untuk Parlimen Kluang.

Tambah beliau, masyarakat Cina bertemu dengannya dan meluahkan mereka sudah menilai apa yang dilakukan dua wakil rakyat DAP itu dibandingkan semasa beliau menjadi wakil rakyat serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada 2008 hingga 2013.

"Jika mereka mahukan pembangunan serupa, mereka tahu siapa harus diberikan undi dan belum pun BN menang di Kluang, pembangunan bernilai lebih RM100 juta sudah siap sedia dibawa masuk ke Parlimen ini," katanya.

Beliau juga yakin undi Melayu terutama 14,000 ahli UMNO Bahagian Kluang selain masyarakat India dan India Muslim akan memihak kepada BN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!