[VIDEO] PKR kesal UMNO, BN membisu cadangan insentif Undi 18
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal kerana kerajaan peralihan UMNO dan BN masih membisu selepas 48 jam parti itu mencadangkan satu insentif demokrasi diberikan kepada semua pengundi baru yang berumur antara 18 hingga 21 tahun.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, UMNO dan BN masih tidak memberikan apa-apa maklum balas terhadap cadangan pemberian insentif khas yang turut membabitkan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti serta institut latihan perindustrian.
"Insentif ini pastinya akan dapat menarik perhatian dan minat anak-anak muda supaya keluar mengundi, serta dapat sedikit sebanyak mengurangkan kos pengangkutan kepada mereka yang masih belum bekerja.
"Pengiraan PKR mendapati bahawa impak kewangan inisiatif ini adalah kecil jika berbanding dengan jumlah kos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sendiri," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini pada Khamis.
Chean Chung menjelaskan, sebagai contoh, bagi pembayaran one-off sebanyak RM50 kepada 1.2 juta pengundi Undi 18 dan 500,000 kepada mereka yang lebih umur 21 tahun tetapi masih belajar, kerajaan hanya perlu membelanjakan RM85 juta.
"Kos ini lebih kurang lapan peratus daripada jumlah kos pilihan raya sahaja. Namun kerajaan peralihan UMNO dan BN dilihat langsung tidak berminat untuk menggalakkan anak-anak muda supaya keluar mengundi," jelas beliau.
Beliau mendakwa, ketika ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dilihat sibuk menyusun segala percaturan supaya beliau boleh diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
"Cantas-mencantas dalam UMNO dan sesama BN berlaku hingga hari ini. Jelas mereka telah pun lupa bahawa terdapat ramai anak muda dan rakyat yang masih tidak sedar bahawa mereka telah pun dijadikan pengundi yang sah.
"Saya harap majoriti rakyat sedar bahawa isu dan dasar anak muda hanya merupakan permainan UMNO dan BN. Pengabaian kepada tuntutan insentif ini juga membuktikan bahawa UMNO dan BN sebenarnya takut kepada anak-anak muda sekiranya mereka berani turun ramai-ramai dan mengundi," dakwanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!