KDA FC rombak pasukan besar-besaran
KEDAH Darul Aman (KDA) FC bakal melakukan rombakan besar-besaran pada musim 2023 apabila membayangkan lima pemain importnya yang beraksi di Liga Super musim ini mungkin tidak dikekalkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, keputusan penuh akan diputuskan oleh ketua jurulatih baharu Sang Kenari yang bakal diumumkan selepas selesai Piala Malaysia 2022.
Menurutnya, peminat KDA FC diminta bersabar kerana semua perancangan musim 2023 sudahpun disiapkan selepas pasukan itu tersingkir awal pada Piala Malaysia musim ini.
Nama penganti Aidil Sharin akan diumumkan selepas tamat pertandingan Piala Malaysia kerana kita tidak mahu menganggu tugasnya buat masa ini.
"Perancangan seterusnya akan digerakkan oleh ketua jurulatih baharu untuk membina pasukan musim hadapan.
"Ketika ini kami belum memutuskan lagi masa depan lima pemain import musim 2022 dan perkara ini akan diputuskan oleh pengendali baharu," katanya semasa dihubungi pemberita pada Khamis.
Khamal Idris mengakui kelab tersebut turut memburu beberapa tonggak pemain tempatan namun nama mereka masih belum dapat diumumkan kerana turut menjadi buruan beberapa pasukan Liga Super lain.
"Persiapan rapi dilakukan dengan teliti kali ini dan kami tidak lagi mahu kesilapan pada musim 2022 berulang lagi.
"KDA FC memahami dan mendengar apa disuarakan oleh penyokong yang mahu pasukan melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan ini," ujar Khamal Idris Ali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!