PRU15: Ramai muka baharu cermin kesepakatan GPS
KUCHING - Penampilan ramai calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencerminkan persefahaman dan kesepakatan gabungan itu dalam meneruskan perjuangan parti.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata,ia juga menunjukkan kematangan berpolitik dalam GPS dengan pemimpin dan ahlinya berpegang teguh kepada prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan diri.
"Semangat perpaduan dan kekeluargaan yang kukuh ini menjadi nadi kekuatan GPS yang dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata, kali ini calon GPS bakal memikul amanah besar selain berdepan cabaran berbeza menghadapi Undi 18 buat pertama kalinya.
"Justeru kita tidak boleh menjadikan kecemerlangan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Disember tahun lalu sebagai sandaran.
"Kesemua calon dan jentera pilihan raya GPS tidak boleh memandang ringan cabaran parti lawan sebaliknya perlu bekerja keras untuk memenangi sokongan pengundi segenap lapisan usia dan memastikan setiap pendekatan, dasar serta perjuangan GPS sampai kepada rakyat," katanya.
Terdahulu, Fadillah diumum akan mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya oleh Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg selain 30 calon GPS lain untuk PRU15 dalam satu majlis di sini.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata calon-calon yang dikemukakan GPS pada kali ini terdiri daripada kombinasi mereka yang berpengalaman selain menampilkan 14 muka baharu serta lima calon wanita. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!