PRU15 bukan medan pergaduhan, tapi untuk pilih kerajaan

Jamil Khir (tengah) ketika sidang akhbar pada Khamis.
Jamil Khir (tengah) ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan medan mencetuskan pergaduhan, sebaliknya ia pentas memilih kerajaan untuk menerajui negara.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom berkata, semua parti politik harus bersikap lebih matang dalam mendepani PRU15 kerana saingannya lebih sengit berbanding PRU sebelum ini.

Menurutnya, namun pihaknya percaya pengalaman serta rekod lampau BN dalam menerajui negara mampu menjadi asas bagi mengembalikan sokongan kepada parti itu pada PRU15.

“Kematangan dalam PRU sekarang jauh lebih mendalam dalam jiwa rakyat, diharap ia bukan medan untuk kita bergaduh sesama kita, sebaliknya medan untuk pilih sebuah kerajaan dalam konteks sebenar.

"Disebabkan itu, BN meletakkan kestabilan dan kemakmuran sebagai agenda besar untuk rakyat dan negara,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis penyerahan watikah calon-calon Parlimen Kedah di sini pada Khamis.

Jamil Khir berkata, rakyat sudah menyaksikan perubahan dalam kerajaan dan urus tadbir negara sebelum ini dan ia wajar dijadikan panduan.

“Masing-masing dapat lihat rekod lampau BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara dan boleh buat penilaian. Pengalaman ini sangat berharga untuk pengundi menentukan mana kerajaan yang mampu bela nasib mereka.

“Saya yakin semua pengalaman yang ada pada menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen dari BN dapat dijadikan modal untuk kita memikat pengundi kali ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jamil Khir yang juga calon bagi Parlimen Jerai menjangkakan akan berlaku saingan sengit di kerusi berkenaan memandangkan DAP meletakkan calon Melayu yang juga anak tempatan.

Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff merupakan calon tunggal parti itu di Kedah dan akan mencabar Jamil Khir.

Pada PRU14, Jamil Khir tewas kepada calon Pas, Sabri Azit dengan majoriti tipis 539 undi.

“Kali ini pola pencalonan mungkin tiga penjuru atau lebih, ketika 2018 semua parti tidak ada pengalaman lebih dua penjuru, kali ini ia akan menjadi kayu ukur untuk melihat prestasi parti masing-masing.

“Kebiasaan negeri yang didominasi Melayu calon DAP tak mendapat sokongan kuat, tetapi kali ini DAP letakkan calon Melayu, saya fikir tentu ada saingan sengit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!