Dua tahun anak perempuan hilang tanpa khabar berita

Nur Ain Annisa dicari keluarga kerana tidak pulang sejak dua tahun lalu. Foto: Mat Roni
Nur Ain Annisa dicari keluarga kerana tidak pulang sejak dua tahun lalu. Foto: Mat Roni
A
A
A

BACHOK - Seorang bapa dari Kampung Jenerak Loak, Tawang, di sini, kerap menangis sendirian kerana merindui anak perempuannya yang hilang hampir dua tahun lalu.

Bapa lima anak tersebut, Mat Roni Mohammad, 57, berkata, keberadaan anak kedua daripada lima beradik itu, Nur Ain Annisa, 22, tidak dapat dikesan walau pelbagai usaha sudah dilakukan.

Lebih memilukan, lelaki tersebut akan mengalirkan air mata ketika bersendirian tatkala mengenangkan keadaan anak gadis tersebut.

Katanya, kali terakhir mereka berhubung menerusi pesanan WhatApps pada dua tahun lalu.

“Dia hantar mesej beritahu, “abah bulan depan saya naik pangkat dan naik gaji. Nak bagi abah RM500 sebulan”.

“Itu mesej terakhir antara kami sehinggalah nombor telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mat Roni berkata, lokasi terakhir gadis itu setakat pengetahuannya berada di Kepong, Kuala Lumpur semasa belajar di sebuah kolej swasta di sana selepas tamat persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor dan kemudian bekerja sebagai jurujual dalam talian.

“Saya pun sudah lupa nama tepat kolej itu. Dulu dia pernah beritahu tinggal dengan seorang wanita yang dijadikan ibu angkat.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak kenal wanita itu dan tidak pernah berjumpa dengannya,” katanya.

Menurut lelaki tersebut, sudah dua kali membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu namun belum membuahkan hasil.

“Saya amat sedih tak jumpa dia walaupun sudah memuat naik gambarnya di Facebook, kami amat merinduinya.

“Jika ada sesiapa yang mengenali atau ternampak Nur Ain Annisa di mana-mana, boleh bantu hubungi saya di talian 0193539884,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!