'Insya-ALLAH Eddin Syazlee akan turun berkempen' - Rais

Rais pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya PN Negeri Sembilan.
Rais pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya PN Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - "Insya-ALLAH dia akan turun berkempen nanti," kata Penasihat Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim berhubung keadaan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, keadaan calon Parlimen Kuala Pilah itu sememangnya tidak berapa baik, namun sudah beransur pulih dan kini berehat di rumah.

"Tak lama lagi apabila dibenarkan doktor dia (Eddin Syazlee) akan memimpin kembali jawatankuasa negeri dan saya sebagai penasihat saja.

"Kita jangan ambil berat sangat tentang sakit orang. Nanti suatu hari nanti pakcik anda pula sakit atau esok cucu saya pula sakit," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Rais Yatim (empat dari kiri) bersama calon-calon PN Negeri Sembilan.
Rais Yatim (empat dari kiri) bersama calon-calon PN Negeri Sembilan.

Pada majlis berkenaan Eddin Syazlee juga tidak hadir dan diwakili oleh Bersatu Bahagian Kuala Pilah.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kedudukan penyandang kerusi Parlimen Kuala Pilah menjadi tanda tanya sama ada akan mempertahankan kerusi itu atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-15(PRU15).

Ia berikutan Eddin Syazlee dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan Eddin Syazlee sebagai calon Parlimen Kuala Pilah ketika Majlis Pengumuman Calon PN yang diadakan pada Selasa.

Pada PRU14, Eddin Syazlee mewakili Bersatu memenangi 18,045 undi menewaskan Datuk Seri Hasan Malek (BN), yang menerima 17,845 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!