'Penyingkiran' harga perlu dibayar kerana tolak kehendak presiden
SHAH ALAM - Ketua UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan 'penyingkiran' bekas-bekas ahli Parlimen UMNO daripada dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah harga yang perlu dibayar untuk menegakkan pendirian kerana menolak kehendak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru, beliau berkata, apa yang 'pemimpin senasib' boleh lakukan ketika ini adalah reda dengan keputusan itu kerana ia merupakan sesuatu yang sudah diduga disebabkan beberapa episod perbezaan pendirian antara mereka dengan Ahmad Zahid.
Bahkan, dakwa Annuar, mereka pernah menggagalkan rancangan yang pernah dilakukan Ahmad Zahid sebelum ini seperti usaha menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Kita dengan tegas menolaknya kerana kita berpegang pada dasar parti dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), ‘no Anwar, no DAP’.
“Kita tidak salah. Kita berbeza pendirian dengan individu bukan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Jelas Annuar, meskipun tindakan tersebut tidak disenangi, namun ia telah menyelamatkan parti itu.
“Saya faham pendirian kita telah membawa kepada fitnah bertubi-tubi kononnya kita tidak setia, kita besar kepala, kita lupa kerana telah dapat jawatan, kita pro-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kita pro-Pas serta lain-lain cercaan.
“Sedih dan pilu bila humbanan tuduhan menjadi semacam satu ejekan, namun kita harus reda. Kita tidak salah,” katanya.
Beliau juga mendakwa, pembubaran Parlimen yang berlaku baru-baru ini telah diambil kesempatan bagi menggugurkan nama-nama yang tidak sehaluan dengan parti itu.
“Saya faham kalian marah dan kecewa dengan cara kalian dilayan tapi sabarlah.
“Kita digugurkan dengan cara yang seolah tiada perlembagaan, tiada peraturan dan jauh sama sekali tali persahabatan,” kata beliau.
Justeru, beliau mengingatkan kepada rakan-rakannya yang menerima nasib sama supaya meneruskan perjuangan.
“Kembalilah memimpin anak dan adik-adik kita yang bertatih. Pulihkan jentera yg berduka. Jika tidak berupaya memenangkan, setidak-tidaknya jangan mengalahkan.
“Parti perlu didahulukan, teruskan semangat muafakat dan perpaduan. Tolak keangkuhan dan kesombongan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!