PRU15: Polis Johor kenal pasti lapan lokasi panas

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

BATU PAHAT - Polis Johor telah mengenal pasti lapan lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di negeri itu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Beliau berkata, pihaknya akan memberikan lebih tumpuan di lokasi yang telah dikenal pasti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat dan meninjau pusat penamaan calon Parlimen Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini hari ini, Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga akan melakukan pemantauan terhadap unsur ‘perjudian’ dalam mengatur keputusan pilihan raya dengan membeli undi oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, Polis Johor menyediakan kira-kira 8,600 pegawai dan anggotanya untuk bertugas di seluruh negeri itu sepanjang PRU15 dengan 3,800 orang akan ditugaskan di 26 pusat penamaan calon.

Bagi pengundian awal di negeri ini, Johor mempunyai 63 pusat dengan 96 saluran dan bagi hari pengundian pada 19 November, Johor mempunyai 1,024 pusat dengan 4,685 saluran.

Kamarul Zaman turut mengingatkan bahawa tindakan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar etika serta peraturan pilihan raya serta menasihatkan parti politik untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Semua pihak terbabit juga diminta untuk saling bertoleransi supaya perjalanan proses pilihan raya nanti berjalan lancar, aman dan tidak ada sebarang gangguan," katanya.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!