Budak 12 tahun tinggal sendirian dalam rumah usang
IPOH - Masih punya ibu dan ayah juga saudara mara, namun kehidupan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ini tidak ubah seperti gelandangan.
Menumpang tidur di rumah kawan dan membantu penduduk kampung melakukan kerja rumah bagi mendapatkan upah.
Kehidupan itu terpaksa dilalui Mohd Firdaus Abdullah sejak dua minggu lalu selepas tinggal seorang diri di rumah sewanya di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi.
Dia yang sudah tidak lagi bersekolah sejak Oktober tahun lalu, tinggal sendirian selepas ibunya ditahan dalam satu operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), awal bulan ini.
Ketika ditemui, dia berkata, ibu dan ayahnya telah lama berpisah dan selepas berkahwin baharu, ayah tirinya juga meninggalkan mereka kira-kira lima tahun lalu.
"Saya anak tunggal, jadi selama ni memang duduk berdua saja dengan mak, tapi dua minggu lalu ada kawan beritahu yang mak dah kena tangkap sebab dadah.
"Saya tak sempat pun jumpa mak, tahu-tahu balik rumah dah kosong, tak ada orang pun," katanya.
Menurutnya, kerana takut tinggal sendiri, dia menumpang tidur di rumah kawan baik yang juga rakan sekelasnya dahulu, dikenali sebagai Syafik.
"Keluarga Syafik baik, kebetulan mak dia dan mak saya kawan, bila mereka kena balik kampung, saya pun balik la semula ke rumah," katanya.
Apa yang menyedihkan, rumah bersambung tiga pintu jenis papan yang turut didiami dua penyewa lain itu telah terputus bekalan elektrik dan air sejak dua tahun lalu.
Mohd Firdaus berkata, sepanjang tempoh itu, rumahnya hanya diterangi cahaya lilin dan mereka terpaksa mandi di tandas stesen minyak berdekatan.
"Menang macam ni lah kehidupan kami, lepas berhenti sekolah, saya tolong sapu daun kering dan bakar sampah di rumah orang, dapatlah upah RM3 ke RM5, mak pula kerja cuci-cuci, orang kampung pun banyak tolong, ada yang bagi duit belanja untuk kami makan," katanya.
Katanya, sepanjang tinggal di rumah sendiri, bapa saudaranya kerap membantu dengan menghantar makanan setiap hari.
"Saya tak nak menyusahkan orang, mereka pun bukan orang senang. Tipulah kalau saya tak sedih...tak takut duduk seorang-seorang, tapi nak buat macam mana, reda sajalah," katanya.
Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jati ini juga menyatakan keinginannya untuk kembali ke sekolah.
"Memang saya nak ke sekolah, boleh jumpa balik kawan-kawan, dulu saya terpaksa berhenti sebab banyak sangat masalah," katanya.
Ibu Mohd Firdaus berusia 42 tahun difahamkan kini berada di Penjara Tapah manakala kali terakhir dia mendapat perkhabaran ayah kandungnya berada di Negeri Sembilan.
Kisah kanak-kanak ini tular di media sosial menerusi perkongsian Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud di Facebook.
Amiruddin, 58, yang lebih dikenali sebagai Tok Anjang berkata, dia menerima panggilan daripada bapa saudara kanak-kanak itu yang meminta bantuan penjagaan sementara.
Menurutnya, tindakan itu kerana bimbang dengan keselamatan diri Mohd Firdaus selepas rumah berkenaan dipecah masuk penjenayah beberapa hari lalu.
"Mujurlah yang hilang hanya dapur dan tong gas, tetapi keadaan rumah dan kanak-kanak ini sangat tidak terurus.
"Kebetulan persatuan kami ada rumah wakaf yang digunakan sebagai rumah transit, jadi untuk sementara kami tempatkan dia di situ, adalah juga orang tengok-tengokkan makan minum dan pakaiannya.
"Rumah yang kami beri nama Rumah Bigbro itu baru enam bulan beroperasi khusus untuk ahli persatuan, orang bermusafir atau yang yang kurang mampu jadikan penempatan sementara," katanya.
Beliau berkata, keadaan Mohd Firdaus telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan mereka mengesyorkan agar kanak-kanak itu ditempatkan di mana-mana asrama rumah perlindungan.
"Semua maklumat telah diambil JKM dan kita tunggulah nanti apa tindakan seterusnya.
"Kita nak dia duduk di tempat yang selamat yang membolehkan kebajikannya terbela termasuklah keperluan pendidikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!