Abdul Hadi dakwa ada lagi pemimpin BN sertai PN

Abdul Hadi Awang (empat dari kanan) bergambar bersama calon-calon PN pada Pengisytiharan Calon PN PRU15 di Rusila malam ini.
Abdul Hadi Awang (empat dari kanan) bergambar bersama calon-calon PN pada Pengisytiharan Calon PN PRU15 di Rusila malam ini.
A
A
A

MARANG - Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada lagi pemimpin BN menyatakan minat untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, permohonan mereka masih dalam proses sebelum diumumkan pada hari penamaan calon Sabtu ini.

"Tak boleh sebut berapa kerusi. Yang penting ada di utara, ada di tengah, ada di selatan,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15 di Rusila di sini malam ini.

Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang akan mempertahankan kerusia Parlimen Arau atas tiket PN, Abdul Hadi berkata, Shahidan telah bersama dengan Pas sejak di Parlimen dan beliau seorang yang berani mengkritik pimpinan UMNO.

Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib juga diumum akan mempertahankan Parlimen Maran sebagai calon PN.

Shahidan dan Ismail adalah antara menteri dan timbalan menteri kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan sebagai calon BN pada PRU15.

Abdul Hadi berkata, rundingan di peringkat parti mengenai calon daripada BN yang akan mewakili PN telah dibincangkan di peringkat pimpinan Pas dan PN, serta ia diterima sebulat suara.

Malah katanya, bakal calon daripada PN yang disenaraikan juga telah menarik diri secara sukarela bagi memberi laluan kepada pemimpin BN tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!