Syukur kerajaan banyak bantu penggiat seni negara
SHAH ALAM - Penggiat seni tanah air menzahirkan kesyukuran di atas sumbangan dan keprihatinan kerajaan membantu golongan tersebut terutama ketika berhadapan situasi sukar pandemik Covid-19.
Pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdullah Mohd Redza berkata, menerusi apa yang diketahui secara peribadi, pelbagai bantuan dan inisiatif diberikan oleh pihak kerajaan adalah mencukupi buat seniman meneruskan kehidupan seharian.
Menurut beliau, keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan dari segi dana dan geran telah membantu anak seni mengharungi era pandemik Covid-19 yang memberi kesan mendalam kepada banyak lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, kata beliau, meskipun banyak geran disalurkan oleh kerajaan, namun proses untuk memohon peruntukan tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak terlibat.
Jelasnya, perlu ada kumpulan yang memantau atau membantu orang seni terutama penggiat muzik tradisional kerana kebanyakan mereka adalah golongan sudah berusia.
"Tidak semua anak seni muzik tradisional cakna tentang bantuan-bantuan tersebut kerana kebanyakan mereka sudah berusia dan tidak mahir dengan teknologi maklumat serta mengisi borang permohonan di dalam talian.
"Situasi sama dihadapi dengan guru saya di Batu Pahat apabila saya sendiri kena membantu dirinya mendapatkan bantuan.
"Namun bagi mereka yang tidak ada orang membantu, mereka kurang bernasib baik apabila saluran bantuan kerajaan itu tidak sampai kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Suara Hati Anak Seni pada Khamis.
Tambah Abdullah, dilema anak seni terutama mereka terlibat dalam muzik tradisional adalah keupayaan membuat persembahan, tidak kira sama ada membuat persembahan di majlis keramaian atau majlis korporat.
Beliau memberitahu, mereka yang terbabit dalam bidang kesenian sudah alami beberapa fasa termasuk tidak mendapat panggilan persembahan dan kekangan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Kata beliau, walaupun PKP hanya setahun dua, namun ia memberi kesan yang sangat besar sebab kebanyakan sumber pendapatan anak seni adalah 100 peratus daripada aktiviti persembahan di atas pentas.
"Bagi meneruskan kehidupan dan mempunyai tanggungjawab terhadap anak isteri, perbelanjaan harian dan bulanan, ketika itu ramai anak seni terpaksa bertukar kerjaya dan terpaksa beralih kepada bidang lain bagi menyara keluarga walaupun sebenarnya tidak meminati bidang baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!