12 individu diberkas dalam serbuan berkaitan dadah

No Image Caption
A
A
A

MUAR – Polis menahan 12 individu melibatkan 10 lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing hasil serbuan dan tangkapan di sekitar daerah Muar, Johor Bahru dan Kota Tinggi, 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Assisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, polis turut merampas dadah disyaki jenis syabu, wang tunai selain tiga kereta pelbagai jenama dan sebuah motosikal hasil serbuan terbabit.

“Jumlah rampasan dadah disyaki jenis syabu sebanyak 6658.86 gram, ganja (0.23 gram), pil eramin 5 (0.65 gram), wang tunai berjumlah RM590 dan USD30.

“Selain itu, polis turut merampas tiga kereta pelbagai jenama termasuk motosikal dalam serbuan berkenaan. Secara keseluruhannya, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM251,286.00,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, permohonan reman akan dilakukan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Raiz Mukhliz mengharapkan agar orang ramai akan terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah ini kepada pihak polis.

“Masyarakat diharap untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dalam usaha membanteras kegiatan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!