Dituduh berpakat dengan BN, Anwar cabar tunjuk bukti
ALOR SETAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang diminta mengemukakan bukti wujudnya pakatan antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya apa yang didakwa Abdul Hadi itu bukan fitnah, tunjukkan kebenaran dengan fakta dan bukan sekadar membuat tuduhan.
Menurutnya, PH tidak berminat untuk mengadakan rundingan bersama BN kerana sasaran PH adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi Parlimen bagi membolehkan gabungan itu kembali memerintah negara.
“Pas tak ada modal. Sekarang Abdul Hadi kata PH dan UMNO berpakat. Kamu (Abdul Hadi) sering bercakap soal agama dan akhlak, mana buktinya? Tak habis-habis fitnah. Buat apa fitnah?” katanya ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan Kedah di sini pada Khamis.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Abdul Hadi menyatakan secara spesifik bilakah rundingan PH-BN itu berlaku sekiranya ia benar-benar diadakan.
“Bila yang kita pakat dengan UMNO? Dengar sini orang Pas, UMNO dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Kami (PH) masuk pilihan raya dengan tekad untuk menang sekurang-kurangnya 112 kerusi, itu sasaran kami.
“Tidak ada asas sama sekali (pakatan) sebab kita ada sasaran. Buat apa kita nak runding?” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PH tidak boleh kalah di mana-mana kawasan Parlimen bagi mencukupkan bilangan 112 kerusi untuk menukar landskap politik negara dengan kerajaan dan sistem yang baharu.
“Kalau runding dengan UMNO, letak macam-macam syarat. Anda ingat UMNO akan berpakat dengan kita tanpa menuntut apa-apa kontrak atau jawatan. Jangan samakan dengan pemimpin PH yang tak pernah letak apa-apa syarat,” katanya.
Anwar turut menempelak sikap Abdul Hadi yang didakwa kerap memfitnah parti lawan.
“Ini bukan cara politik Islam tanpa ada nilai, tanpa akhlak,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!