Pencalonan Ismail strategi tambah kerusi Parlimen

Andansura dan Ismail
Andansura dan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Keputusan Pas Pusat mencalonkan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib sebagai calon Pas bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai satu bentuk strategi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, pencalonan Ismail di kerusi Parlimen Maran dapat memberikan kemenangan tambahan kerusi di atas ketokohan dan sokongan daripada ahli serta penyokongnya.

"Kita di Pas Pahang menyambut baik segala strategi parti dan akan bekerja bagi memastikan kemenangan.

"Malah, kita juga mematuhi keputusan yang dibuat oleh parti dan Alhamdulillah kita diperingkat Pas telah dididik supaya memberi keyakinan dan kepercayaan serta kesetiaan kepada keputusan jemaah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada malam Khamis, Presiden Pas yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ismail bertanding di Parlimen Maran dalam satu Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila di Terengganu.

Ismail yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan digugurkan daripada barisan calon BN yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dua hari lalu.

Ismail Muttalib menjadi Ahli Parlimen Maran selama empat penggal bermula 2004 dan dalam tsunami politik PRU14 lalu beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Maran dengan majoriti 3,763 undi.

Mengulas lanjut, Andansura memberitahu, Ismail mempunyai pengaruhnya tersendiri dan sudah pasti akan memberi kesan yang positif kepada PN di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Beliau (Ismail) sudah menjadi pemimpin kepada rakyat lebih daripada tiga penggal, ada pengaruh dan penyokong bukan sahaja dalam kalangan ahli serta penyokong UMNO, tetapi juga penyokong Pas.

"Jadi, Ismail sudah pasti akan memberi saingan kepada calon BN kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin pada pilihan raya kali ini," jelas beliau.

Ditanya mengenai calon kerusi Maran, Fazil Azmi Nadzri yang telah digugurkan, Andandura berkata, calon terbabit menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan parti.

"Beliau (Fazil Azmi) seorang yang berjiwa besar dan boleh menerima situasi ini dengan hati terbuka. Malah beliau sendiri memberi sokongan kepada Ismail," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!