Nurul Amal tak gentar berdepan calon 'otai'

Nurul Amal
Nurul Amal
A
A
A

KOTA BHARU - Calon baharu BN bagi Parlimen Kubang Kerian, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi tidak gentar menyaingi lawan di Parlimen itu termasuk berdepan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nurul Amal berkata, memang tidak dinafikan beliau adalah calon termuda BN Kelantan yang dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun itu bukan faktor yang akan melemahkannya.

"Saya adalah calon termuda daripada semua yang tercalon namun azam saya seperti calon 'otai' lain iaitu untuk menang.

"Baharu tidak bermakna kita tidak akan diterima pengundi apatah lagi golongan muda boleh mengundi pada PRU kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Watikah Calon BN Kelantan di Pejabat Perhubungan Negeri pada Jumaat.

Nurul Amal merupakan salah seorang daripada tiga calon wanita yang dipertaruhkan BN Kelantan selain Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin yang ditawarkan bertanding di kerusi Parlimen Ketereh dan Noor Wahida Patuan bagi Parlimen Jeli.

Nurul Amal yang juga Naib Ketua Puteri UMNO itu berkata, beliau akan memberi fokus menemui seramai mungkin pengundi muda di kawasan yang ditandinginya.

"Kita sedar golongan muda sekarang lebih terbuka dan matang dalam menentukan siapakah calon yang mampu membawa 'stabiliti' kepada pemerintahan negara," ujarnya

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!