'Saya bukan ketagih nak jadi PM' - Anwar

Anwar ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan Kedah pada Khamis.
Anwar ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan Kedah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dirinya kemaruk untuk bergelar Perdana Menteri sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

Anwar berkata, walaupun pernah berpeluang ditawarkan jawatan tersebut namun pelawaan itu ditolak kerana tidak mahu mengkhianati amanah rakyat.

Menurutnya, biarpun PH menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri sejak awal, namun beliau bukannya gila kuasa untuk menerima jawatan sehingga sanggup menggadai apa sahaja.

“Masih ingat kah, tahun lalu beberapa ahli Parlimen UMNO tandatangani deklarasi akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan hantar surat tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau saya ketagih nak jadi Perdana Menteri, saya terimalah syarat apa pun, lama dah saya tunggu nak jadi PM. Terimalah syarat lebih kurang pun tetapi pada malam itu apabila Datuk Seri Najib Tun Razak minta saya bagi pengakuan bertulis beliau akan dilepaskan daripada hukuman penjara dan mahkamah, saya tak sanggup, saya jawab tak boleh,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan Kedah di sini pada Khamis.

Menurutnya, sekiranya menerima syarat yang ditetapkan UMNO ketika itu, sudah pasti dirinya kini bergelar Perdana Menteri.

“Mereka kata jadilah Perdana Menteri tepi. Tak apalah, tepi pun saya tak curi harta orang. Sebab saya ada maruah, malu pada rakyat yang berharap pada kita.

“Tetapi mereka masih tak faham, mereka kata tak apalah khianat untuk menyelamatkan Malaysia daripada komunis (DAP), tetapi saya tak terima syarat itu sebab berpegang pada prinsip, akhlak dan jangan khianati amanah rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anwar menegaskan hanya kestabilan politik dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Kerajaan ada 70 menteri namun dalam masa tiga tahun asyik lakukan kajian kenaikan harga barang, masalah ekonomi negara tak selesai juga.

“Kita tahu penyelesaiannya ialah politik yang stabil, kepimpinan yang tegas, dasar negara dan ekonomi yang jelas untuk selamatkan rakyat, isu pengangguran, ringgit merudum dan stabilkan harga barang. Namun BN mahupun Perikatan Nasional (PN) telah merosakkan ekonomi negara kita,” ujarnya.

Beliau berkata, PH akan cuba memulihkan ekonomi negara menerusi hubungan baik dengan negara luar antaranya Turki, antara negara Islam yang berpotensi.

“Pelabur-pelabur Arab, termasuk Turki, Qatar, Abu Dhabi, mereka nyatakan kepada saya kerajaan kita tidak stabil, tidak ada keyakinan. Mereka sebut kepada saya, kalau betul PH mentadbir dan stabil mereka akan datang melabur.

“Berilah peluang kepada PH walaupun sebelum ini ada kelemahan tetapi masa itu ketuanya Tun Dr Mahathir Mohamad. Selepas ini, ketuanya Anwar Ibrahim,” katanya.

Anwar yakin dengan pengalaman pemimpin PH yang pernah menganggotai kabinet akan membantu memperbaiki kelemahan lalu.

“Kami bagi jaminan, ini bukan kerajaan nak ganti, ini kerajaan yang betul-betul mahu bersihkan negara daripada penipuan dan penindasan. Tumpuan adalah untuk jaga kepentingan rakyat dan selamatkan negara, selain hentikan sentimen permusuhan kaum,” tambahnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!