Lukisan khat jadi sumber rezeki tambahan
Tanpa pendidikan formal dalam didang seni tampak, Yazri buktikan minat dan bakat perlu seiring
KUALA LUMPUR - Melihat hasil lukisan khat berlatarkan elemen abstrak tiada siapa pun menjangka pelukisnya merupakan seorang siswazah Pusat Pengajian Teknologi Industri dalam bidang Teknologi Bio Sumber, Kertas dan Penglitup (coatings), Universiti Sains Malaysia (USM)). Yazri Izwan Yahya tidak menjangka percubaan sekadar suka-suka melukis doodle bagi latar belakang papan menjadi titik tolak kepada beliau terlibat secara aktif menghasilkan lukisan khat dan abstrak.
Ujar beliau, pada mulanya dia sekadar menemankan seorang rakan bagi menyediakan set dan props pengambaran produk klien dan mereka memerlukan pelukis latar belakang bagi set pengambaran tersebut.
"Tapi memandangkan rakan saya yang sepatutnya membuat lukisan doodle itu perlu fokus dengan satu lagi set penggambaran yang lain, dia minta saya membuat lukisan yang diperlukan.
"Walaupun sudah agak lama tidak melukis, saya memberanikan diri untuk mencuba skil melukis yang masih lagi menebal dalam diri,” jelasnya.
Katanya, lukisan doodle basikal dan belon untuk set pengambaran tersebut membuatkan saya bertambah yakin dengan kebolehan dalam bidang seni tampak ini.
"Sejak itu, saya semakin yakin untuk menerokai lebih banyak teknik dan menjual lukisan khat yang berlatarkan abstrak.
“Pada peringkat awal, macam-macam insiden seperti tersalah pilih medium warna, peralatan melukis yang terhad dan pelanggan yang kurang berpuas hati dengan hasil lukisan yang mereka tempah menyebabkan saya sedikit sebanyak berputus asa.
"Namun apabila mendapat respon positif, semangat saya kembali berkobar-kobar untuk melukis secara serius,” ujar Yazri yang mula melukis secara serius sejak tahun 2021 ketika pandemik yang melanda negara dan dunia ketika itu.
Jelas Yazri yang juga merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia melukis untuk mengisi masa lapang selepas waktu kerja, setiap karya lukisan tersebut saya muat naik di pelantar media sosial saya.
“Niat asal saya melukis ini hanyalah sekadar aktiviti di masa sengang sahaja, apabila saya berkonsgi hasil karya saya di media sosial, ramai rakan-rakan dan kenalan yang memberi komen membina.
“Ada lukisan khat saya ditempah untuk dijadikan hiasan rumah dan hadiah bagi pelbagai program, acara dan tujuan tertentu,” terang Yazri yang telah berjaya menjual sebanyak 79 unit lukisan khat dalam tempoh dua tahun beliau berkecimpung secara serius dalam lukisan khat-abstrak.
Perlu mahir tulisan, lukisan khat
Selain mahir melukis lukisan abstrak, Yazri mengabungkan kemahiran dan teknik lukisan abstrak menjadi latar kepada tulisan yang ditempah oleh para pelanggan.
“Lukisan-tulisan khat mempunyai banyak jenis dan kategori antaranya ialah Nasakh, Thuluth, Diwani, Diwani Jali, Farsi, Nasta’liq, Maghribi, Mushafi, Fatimi dan Riq’ah; semuanya mempunyai keunikan dan seni tulisan khat yang tersendiri," katanya.
Semasa bersekolah agama di Johor Bahru, Yazrii pernah mewakili Sekolah Agama Taman Sri Tebrau ke pertandingan tulisan khat Peringkat Kecil (darjah 1 hingga 3) sempena Perujian Membaca Al-Quran, Berzanji, Tafsir Ayat dan Tulisan Khat Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor.
“Pertandingan khat di peringkat kecil itu adalah Khat Nasakh. Kali pertama memasuki pertandingan seumpamanya, saya mendapat tempat ketiga bagi sekolah-sekolah agama di Zon Pelawat Timur.
"Pada tahun berikutnya, saya sertai lagi pertandingan khat bagi kategori yang sama dan berjaya menjadi johan yang melayakkan saya mewakili Zon Pelawat Timur ke peringkat Daerah Johor Bahru. Pada pertandingan tersebut, saya berjaya menjadi Johan Daerah Johor Bahru,” jelas Yazri yang berasal dari Johor Bahru.
Perancangan masa hadapan
Untuk perancangan masa hadapan, Yazri mahu mempelajari lebih banyak teknik penulisan khat dengan betul kerana masih banyak lagi yang perlu saya pelajari.
"Saya juga sedang menjengah peluang untuk menjual hasil lukisan khat yang dicetak atas kanvas bersama bingkai eksklusif kerana pasarannya lebih luas,” jelas Yazri yang menjual karya lukisan khatnya dengan harga bermula RM250 hingga RM1,200 (bergantung kepada saiz, jenis ayat dan corak.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat hasil lukisan khat-abstrak boleh akses pelantar media sosial Yazri, Intagram (@yiy_melukis) dan pelantar TikTok (@yiy12181).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!