[VIDEO] PRU15: Muda, PH bekerjasama erat di Tanjung Piai

Syed Saddiq (tiga dari kiri) melancarkan Bilik Gerakan dan Jentera Muda Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Khamis.
Syed Saddiq (tiga dari kiri) melancarkan Bilik Gerakan dan Jentera Muda Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bekerjasama erat dengan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk Amanah dalam mengatur gerak kerja jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Tanjung Piai.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, gerak kerja bersama itu membuktikan tiada pertikaian yang timbul berhubung calon di Parlimen Tanjung Piai yang diwakili Lim Wei Jiet dari Muda.

"Dari sudut pembahagian calon telah selesai dan tiada masalah. Pada masa sekarang, gerak jentera seperti sebuah keluarga itu sudah wujud.

"Muda tidak boleh bertanding berseorangan kerana kita bertanding dalam satu pasukan. Muda mahu mengangkat kerajaan baharu bersama PH.

"Sebab itu pada masa sekarang saya rasa kesatuan Muda dalam PH itu lebih baik jika dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN) yang caca marba bergaduh," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Muda Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nanas pada Khamis.

Sebelum itu, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, kepimpinan parti itu melahirkan rasa kecewa atas keputusan menyerahkan Parlimen Tanjung Piai kepada calon Muda.

Sementara itu, Wei Jiet berkata, kerjasama dalam kalangan parti komponen PH di Parlimen Tanjung Piai sudah bermula dan tidak wujud sebarang pergolakan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah bergerak bersama rakan komponen PH termasuk Amanah di Parlimen Tanjung Piai. Matlamat kita sama iaitu ingin menumbangkan UMNO dan BN.

"Berdasarkan pemerhatian saya, memang tiada pertelingkahan yang berlaku dan semua jentera dari PH, membantu kami," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!