'Saya tak merajuk lama-lama' - Mohd Salim

Mohd Salim. Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Mohd Salim. Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

JEMPOL- "Saya merajuk? Kalau merajuk nak lama-lamalah, tapi tak adalah merajuk," kata Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Penyandang kerusi Parlimen Jempol itu turut menafikan dakwaan yang mengatakan beliau hampir pasti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, perkara itu tidak benar sama sekali kerana beliau masih setia dengan parti.

"Dalam politik ini apabila tengok orang kecewa, ramai yang telefon, ramailah tawarkan (untuk menjadi calon). Ialah kita tengah kecewa, macam hilang kekasih tetapi saya tetap dengan BN dan tidak bertanding dengan mana-mana parti lain.

"Saya tengok perkara ini cepat tular selepas melihat ada pemimpin UMNO yang tidak bertanding dalam pilihan raya kali ini, bertanding atas tiket parti lain. Kemudian saya pula ditembak kat sini yang mendakwa 80 peratus betul," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebaliknya, beliau akan berjuang bersama-sama bagi memastikan kerusi BN kekal milik gabungan itu pada PRU15.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau akan mengumumkan sesuatu pada petang ini ketika majlis perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Jempol, Mohd Salim menafikan perkara tersebut.

"Tak ada yang nak diumumkan, saya hanya ingin berjumpa dengan kepimpinan UMNO sahaja tentang PRU15," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) turut menjelaskan, punca ketidak-hadirannya pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN di Wisma Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pada Khamis kerana mempunyai program bersama RISDA.

Sementara itu, menurut sumber UMNO Bahagian Jempol, Mohd Salim akan mengadakan perjumpaan dengan UMNO Cawangan jam 3 petang pada Jumaat bagi menyatakan pendiriannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!