Ketepikan masalah, pastikan calon BN menang: Ismail Sabri
BERA - Ahli dan pemimpin BN khususnya UMNO hendaklah mengetepikan segala perbezaan serta masalah berbangkit berhubung keputusan calon yang dipilih untuk bertanding mewakili parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata setiap perkara dan keputusan dibuat dengan pertimbangan untuk parti, justeru tugas setiap ahli parti adalah untuk bekerjasama dan saling menyokong bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya yang dihadapi.
"Setiap kali PRU (pilihan raya umum) atau PRN (pilihan raya negeri) dan PRK (pilihan raya kecil) akan berlaku dan timbul masalah (tidak setuju dengan calon pilihan parti) di bahagian atau Parlimen... itu biasa. Tidak semua (nama yang dicadang sebagai calon) akan bertanding (dipilih sebagai calon).
"Walaupun semua layak, tapi yang terpilih hanya seorang. Yang penting ialah sesiapa yang terpilih (menjadi calon) adalah mewakili BN dan kita sebagai ahli, tugasnya adalah untuk memastikan kemenangan parti,” kata Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan jentera pilihan raya BN di Bilik Gerakan BN Parlimen Bera, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, timbul masalah dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin UMNO dan parti komponen BN yang tidak bersetuju dengan senarai calon diumumkan untuk mewakili parti pada PRU15, selain terdapat penyandang yang telah digugurkan dilaporkan akan tetap bertanding walaupun tidak mewakili BN.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri yang juga penyandang Parlimen Bera menasihatkan ahli dan penyokong semua parti yang akan hadir pada proses penamaan calon esok (Jumaat), supaya menjaga disiplin serta tidak melakukan perbuatan provokasi.
"Esok ramai yang akan hadir untuk menyokong calon dan wakil masing-masing... jaga disiplin, keselamatan dan elak provokasi. Kita mahu proses pilihan raya yang harmoni,” kata beliau.
Pada PRU15, Ismail Sabri yang akan mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2004 dijangka berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang dan Perikatan Nasional (PN) Asmawi Harun, berdasarkan pengumuman calon yang dibuat oleh parti terlibat sebelum ini.
Pada pilihan raya umum 2018, Ismail Sabri menang dengan majoriti 2,311 undi, menewaskan calon PKR Zakaria Abdul Hamid yang memperoleh 18,449 undi manakala calon Pas Musaniff Ab Rahman mendapat 8,096 undi.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!