Nekad bertanding selepas sembilan hari sertai Pejuang
DUNGUN - Usahawan muda berusia 32 tahun dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nuraisah Hasan menjadi satu-satunya calon wanita tunggal yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tiada pengalaman dalam dunia politik, bahkan tidak pernah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU sebelum ini tidak membuatkan anak kelahiran Pulau Serai itu gentar.
Nuraisah berkata, selepas sembilan hari mendaftar masuk dalam parti Pejuang, dia mengambil tindakan berani mati untuk bertanding di Parlimen Dungun.
"Dahulu saya tidak pernah mengundi sebab semua saya sokong dan tidak pasti nak pilih siapa.
"Selepas meneliti resume yang dihantar, pucuk pimpinan parti menawarkan kepada saya untuk menjadi calon kerana melihat kepada latar belakang kukuh sebagai ahli perniagaan dan berpotensi memimpin serta membantu rakyat.
"Saya bersetuju dan nekad untuk berjuang di tempat kelahiran sendiri sebab saya lihat masih ramai yang hidup susah di sini.
"Apabila balik kampung, saya sering berkunjung menemui rakan-rakan dalam kesusahan dan melihat taraf hidup mereka yang masih di takuk lama serta kurang peluang pekerjaan," katanya.
Katanya, tiada sesiapa yang menaja untuk bertanding tetapi dia rela berkorban walaupun kemenangan mungkin tidak berpihak kepadanya.
"Tiada siapa taja dan saya mampu bayar RM15,000 untuk menjadi calon dan tidak kisah sekiranya hilang deposit selepas ini.
"Saya yakin menang tetapi jika tiada rezeki tidak mengapa kerana calon-calon lawan juga hebat," katanya.
Bergelar calon junior tidak membuatkan ibu kepada tiga cahaya mata ini gentar.
"Sikit pun saya tidak gentar dan akan berkempen secara sihat.
"Dari segi gerak kerja saya tiada penyokong seperti parti-parti lain tetapi itu tiada masalah kerana cukuplah sokongan keluarga.
"Saya berbeza fahaman politik dengan suami tetapi dia tetap bagi sokongan dan galakan kepada saya dan membantu untuk berkempen," katanya.
Nuraisah yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai dan berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini menetap di Kuala Lumpur serta bergiat aktif dalam pelbagai cabang perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!