Tiada arahan semakan audit terhadap Shahrir: Saksi
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersetuju di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa tiada arahan untuk melakukan semakan audit terhadap Tan Sri Shahrir Ab Samad kerana tidak menerima aduan secara bertulis.
Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata demikian selepas disoal peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros berhubung penerima wang RM1 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 27 November 2013.
Sebaliknya, saksi pendakwaan ke-21 ini berkata, beliau menerima aduan secara lisan dan bukannya bertulis.
Syed Faisal Al-Edros: Masa itu, tuan tidak tahu status RM1 juta itu merupakan pendapatannya atau tidak?
Tuan Zulkfli: Betul, sebab semakan belum dibuat.
Syed Faisal Al-Edros: Adakah pegawai penyiasat daripada SPRM beritahu tuan, RM1 juta itu merupakan pendapatan tertuduh?
Tuan Zulkfli: Pegawai itu hanya datang untuk semak sama ada RM1 juta itu dilaporkan kepada LHDN atau tidak.
Dalam pada itu, Tuan Zulkfli berkata, proses semakan cukai terhadap bekas Ahli Parlimen Johor Bahru ini bagi tahun taksiran 2013 belum bermula, namun dituduh pada 20 Januari 2020.
Secara peribadi beliau bersetuju bahawa sekurang-kurangnya, sembilan langkah Proses Wajar, mesti dibuat sebelum pertuduhan dilemparkan terhadap tertuduh.
Syed Faisal Al-Edros: Tuan ingat tak, lapan kali anak guam saya beritahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa RM1 juta yang diterima merupakan wang ganti?
Tuan Zulkfli: Betul, saya ingat.
Syed Faisal Al-Edros: Pegawai penyiasat tidak tunjuk kepada tuan, sebarang dokumen tuntutan kontraktor dan bayaran yang tertuduh dahulukan untuk Projek Puri Langkasuka, Larkin.
Tuan Zulkfli: Betul.
Semasa prosiding, peguam ini berkata, pegawai penyiasat hanya memaklumkan bahawa RM1 juta dimasuk ke akaun Shahrir dan tiada dokumen diberikan kepadanya untuk semakan audit.
Sementara itu, ketika soal balas oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, saksi LHDN ini mengesahkan bahawa, sehingga sekarang, Shahrir tidak pernah didakwa atas mana-mana kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Malah katanya, LHDN tidak pernah melakukan taksiran tambahan terhadap pentaksiran kendiri yang dibuat oleh tertuduh bagi tahun 2013.
"Bagi saya, untuk kesalahan seperti ini, perlu ada semakan dahulu, bila (ada) tak betul baru kita ambil tindakan.
“Kalau tiada tindakan, kita tidak boleh pastikan seseorang itu kurang lapor (pendapatan) atau sebaliknya," katanya.
Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib, berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 13 Disember depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!