BN hormati 'langkah demokrasi' Ismail

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Foto Bernama.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LIPIS - Penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berhak bertanding di mana-mana platform yang dikehendakinya selepas digugurkan daripada mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menyifatkan tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘satu keraian demokrasi’, Wan Rosdy berkata BN tidak boleh menghalang penyandang kerusi yang tidak dicalonkan bertanding atas tiket parti lain.

"Terpulang kepada dia (Ismail). Kita tak boleh nak halang sebab dia tidak dicalonkan (mewakili BN). Kalau dia berasakan layak mempertahankan kerusi yang pernah disandangnya, kita tak boleh buat apa sebab kita demokrasi," katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tapak Projek Penternakan Ayam Felcra di Sungai Damak Jeransang di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Datuk Mat Roni Zakaria.

Pada Selasa, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerusi Parlimen Maran akan ditandingi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, menggantikan Ismail yang menjadi Ahli Parlimen di situ sejak 2004.

Pengumuman Ismail bertanding bagi PN dibuat Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada majlis di Marang, Terengganu malam tadi, walaupun sebelum ini, PN telah menamakan Fazil Azmi Nadzri dari Pas sebagai calon kerusi tersebut.

Ismail juga dijangka mengadakan sidang media bersama Pengerusi PH Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada petang ini.

PRU15 akan diadakan 19 November ini, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai penamaan calon manakala 15 November hari pengundian awal. - Bernama.

Artikel Berkaitan:



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!