Cucu saudara Tun M calon GTA di Alor Setar
ALOR SETAR - Cucu saudara kepada Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat dipilih menjadi calon Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Usahawan berusia 45 tahun itu berkata, pengalaman di dalam dunia perniagaan yang diceburi lebih 20 tahun akan digunakan bagi membantu meningkatkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di Bandaraya Alor Setar.
Menurutnya, itu antara visi yang mahu dibawanya jika diberi mandat menjadi wakil rakyat oleh penduduk Parlimen Alor Setar.
"Alor Setar mempunyai pelbagai kemudahan seperti bandar raya lain di negara kita dan penduduknya juga menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menjalankan perniagaan.
"Bagi usahawan kecil seperti makanan, saya lihat mereka ada potensi untuk pergi jauh, cuma mereka mungkin kurang arif tentang cara untuk meluaskan lagi pasaran produk mereka," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Tambahnya, selepas lebih dua dekad menjalankan perniagaan di luar Kedah, kini sudah tiba masanya untuk beliau kembali menyumbangkan pengalamannya membantu penduduk di negeri sendiri terutamanya di Alor Setar.
Pada PRU15, Mohamad Nuhairi dijangka bertembung lebih empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan (PH), BN dan Perikatan Nasional (PN) selain calon bebas.
Parlimen Alor Setar sebelum ini disandang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal sejak PRU13 yang mempertaruhkan Simon Ooi Tze Min bagi mewakili PH, BN diwakili Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Hiong manakala PN diwakili Afnan Hamimi Taib Azamudden yang merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!