'Saya belum diisytihar bankrap, layak tanding PRU15' - Jamal

Jamal Md Yunos (kiri)Teresa Kok
Jamal Md Yunos (kiri)Teresa Kok
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan bekas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Sui Kim yang mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menolak pencalonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos daripada menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah pramatang dan sia-sia.

Ia berikutan Jamal didakwa masih belum membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Teresa selepas kalah dalam kes saman fitnah terhadapnya atas dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) pada Julai lalu.

Bagaimanapun, Jamal yang juga calon BN bagi Parlimen Sungai Besar berkata, peguamcaranya, Rejinder Singh memaklumkan, beliau masih belum dikenakan sebarang perintah kebankrapan yang boleh menggagalkan penyertaannya sebagai calon dalam PRU15.

"Ketika ini saya sedang dalam proses merayu ke Mahkamah Rayuan berkenaan ganti rugi yang diperoleh Teresa melalui penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 26 Julai 2022.

"Saya percaya rayuan tersebut adalah bermerit dan ganti rugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut akan dinilai serta dipertimbangkan semula setelah rayuan saya didengar.

"Selagi perintah kebankrapan tidak dibuat oleh mahkamah terhadap saya, maka saya layak untuk bertanding dalam PRU15," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Jamal berkata, peguamcaranya telah memaklumkan kepada peguamcara Teresa mengenai serahan secara kendiri mereka kepadanya untuk notis kebankrapan agar ia dibuat pada 8 Ogos 2022.

Oleh itu, beliau berkata, gesaan Teresa agar SPR menolak pencalonannya sebagai calon ahli Parlimen Sungai Besar mewakili BN adalah salah dan wajar ditolak.

Artikel Berkaitan:

"Saya menegaskan di sini, tindakan Teresa adalah satu perbuatan terdesak sebagai cubaan untuk menggagalkan saya dari menjadi calon pilihan raya walaupun amat jelas saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan selaras dengan Akta Insolvensi 1967.

"Justeru saya menyanggah dakwaannya bahawa prosiding kebankrapan bermula pada 30 Ogos 2022 kerana pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan dijalankan pada 30 November 2022, yang mana peguamcara saya akan mencabar tindakan kebankrapan ini.

"Oleh itu, saya percaya kelayakan sebagai calon masih sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehingga satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan dilupuskan selaras dengan kelayakan pencalonan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Media pada Jumaat melaporkan Teresa Kok menggesa SPR membatalkan pencalonan Jamal untuk bertanding pada PRU15 di kerusi Sungai Besar.

Beliau menerusi surat yang dihantar kepada Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan beliau memulakan prosiding kebankrapan ke atas Jamal pada 30 Ogos lalu, berdasarkan kepada penghakiman yang diterimanya pada 26 Julai.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!