PRU15: Polis Selangor kenal pasti 77 kawasan panas

Arjunaidi (tengah) dalam sidang akhbar IPK Selangor sempena PRU15 pada Jumaat.
Arjunaidi (tengah) dalam sidang akhbar IPK Selangor sempena PRU15 pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor mengenal pasti 77 lokasi panas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, lokasi itu merujuk kepada tempat yang mudah berlaku kekecohan disebabkan faktor sensitiviti dan lain-lain.

Menurutnya, tujuh Parlimen iaitu Gombak, Shah Alam, Ampang, Sungai Buloh, Pandan, Kuala Selangor dan Sepang menampilkan calon 'heavyweight'.

"Lima Parlimen yang dikesan sebagai 'hotseat' pula adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Gombak dan Sungai Buloh.

"Kita jangkakan saingan di beberapa kerusi Parlimen adalah agak seimbang. Sama ada sengit atau tidak, ia bergantung selepas penamaan calon esok (Sabtu)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sempena PRU15 di sini, pada Jumaat.

Tegasnya, tiada pengecualian terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan lunas undang-undang, termasuk mengikut Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mengulas mengenai proses penamaan calon PRU15 pada Sabtu, Arjunaidi berkata, seramai 4,956 pegawai dan anggota ditugaskan di setiap tempat penamaan calon bagi kawalan keselamatan.

Kata beliau, terdapat penutupan jalan kecil di sekitar pusat penamaan di sembilan daerah pentadbiran polis iaitu Petaling Jaya, Klang Utara, Shah Alam, Kajang, Gombak, Hulu Selangor, Ampang Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam.

Artikel Berkaitan:

"Penutupan jalan utama hanya babit dua daerah iaitu Gombak (Jalan Persiaran 3, Bandar Baru Selayang dan lorong Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu), manakala Petaling Jaya melibatkan Jalan Yong Shook Lin, Jalan 52/18 serta Jalan Lebuh Bandar Utama," ujarnya.

Tambah Arjunaidi, orang awam juga diingatkan untuk tidak menerbangkan drone di kawasan tidak dibenarkan sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung.

Jelasnya, penyokong parti yang berarak menaiki kenderaan juga diminta untuk mematuhi peraturan lalu lintas seperti penggunaan topi keledar bagi mengelak tindakan kompaun diambil.

Setakat hari ini, terdapat satu laporan di Petaling Jaya mengaitkan satu parti yang menjalankan kempen. Kes disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Kata Arjunaidi lagi, pihaknya akan menggunakan kekuatan sepenuhnya bagi menghadapi PRU15 dan memberi komitmen bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.

"Polis turut meningkatkan risikan dari sudut keselamatan serta ancaman agar penugasan sepanjang tempoh PRU15 ini teratur dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!