Bekas isteri MB Perlis tuntut RM15.34 juta

Azlan, Sova
Azlan, Sova
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas isteri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man memfailkan dua tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Jumaat.

Menerusi dokumen yang diperoleh media, Sova Ali, 40, membuat tuntutan mutaah sebanyak RM15 juta kerana mendakwa telah diceraikan tanpa sebab oleh Azlan, 63, dan tanpa kebenaran mahkamah.

Sova yang juga warga Indonesia berkata, perkara itu telah disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 25 Ogos lalu.

Sementara bagi tuntutan nafkah tertunggak sebanyak RM344,250, Sova mengatakan tidak diberikan nafkah semasa dalam perkahwinan bagi tempoh tertentu.

Wanita ini juga akan memfailkan dua lagi tuntutan terhadap bekas suaminya ini, yang juga calon BN bagi kerusi DUN Bintong Perlis.

Ia membabitkan tuntutan harta sepencarian bagi memperolehi pelbagai aset yang dimiliki dalam tempoh perkahwinan mereka di Selangor, Perlis dan tempat lain termasuk di luar Malaysia, melibatkan harta alih dan tidak alih dalam milikannya.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sova ketika dihubungi media mengesahkan dokumen tersebut.

Menurutnya, mahkamah telah membenarkan pihak Sova untuk menyampaikan saman dan penyata tuntutan kes-kes yang tersebut di atas di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah Selangor iaitu di Perlis.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua kes ini telah ditetapkan untuk Majlis Sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Disember depan.

Kebenaran tersebut diberikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Syariah, Rashidah Sapingi @ Shafie.

Kes tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak itu ditetapkan untuk majlis sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Disember ini.

Pada 25 Ogos lalu, Sinar Harian melaporkan, Azlan dan Sova sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!