UMT pupuk gaya hidup sihat dengan berbasikal
RAMAI pihak yang prihatin dengan tanggungjawab menyedarkan masyarakat setempat untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak ketinggalan dengan menyebarkan kesedaran ini melalui aktiviti berbasikal seiring dengan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Peningkatan Amalan Gaya Hidup Sihat.
Terbaharu Program Kayuhan Kasih Cakna Komuniti iaitu aktiviti dengan berbasikal dijayakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2018/2019 UMT.
Aktiviti yang dalam masa sama memperkasakan kemahiran sosial dan kebertanggungjawaban mahasiswa ini juga memfokuskan kepada keprihatinan terhadap masyarakat setempat ini juga mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Program Kayuhan Kasih Cakna Komuniti ini adalah kesinambungan dari program kayuhan perpaduan yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh MPP UMT tahun lepas.
Kayuhan Kasih Cakna Komuniti merupakan salah satu program Minggu Kesenian Islam (MKI) yang bertujuan memberi pendedahan kepada peserta akan keadaan pada zaman Nabi, yang mana para Nabi dan sahabat bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain menggunakan kuda untuk berhijrah sama ada dengan tujuan perniagaan atau peperangan.
Hari ini, basikal digunakan secara meluas terutamanya dalam kalangan penuntut UMT. Justeru itu, penggunaan basikal adalah kenderaan yang paling sesuai untuk menggantikan kuda bagi menjayakan program ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UMT, Profesor Ts. Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata, antara kelainan program kayuhan pada tahun ini adalah dengan melalui kawasan kampung dan jalan-jalan kecil sekitar Kampung Tok Jembal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!