222 pusat penamaan calon jadi tumpuan
SELEPAS melalui pelbagai kontroversi dan drama, hari ini merupakan penentu sebenar siapa yang bakal diangkat sebagai calon yang akan mewakili parti masing-masing.
Tumpuan seluruh rakyat Malaysia pastinya terarah pada 222 pusat penamaan calon di seluruh negara untuk menyaksikan pengumuman rasmi sama ada seseorang calon yang mengambil bahagian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu layak bertanding atau sebaliknya.
Di pusat penamaan calon itu jugalah nanti bakal menjadi medan ujian terakhir calon sama ada lepas atau tidak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya yang disifatkan paling mencabar ini.
Pastinya pusat penamaan calon yang menyaksikan pertembungan calon ‘heavyweight’ paling mencuri tumpuan ramai termasuklah pihak media.
Paling mencuri tumpuan pastinya di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh yang menjadi pusat penanaman calon bagi Parlimen Tambun.
Parlimen Tambun bakal menyaksikan pertembungan antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan dan Barisan Nasional (BN) pula menampilkan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Amiruddin Md Hanafiah.
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu yang menjadi pusat penamaan bagi Parlimen Gombak.
Parlimen tersebut bakal menyaksikan pertembungan dua calon tumpuan melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar terkini, Datuk Seri Amirudin Shari (PH).
Turut dijangka menjadi tumpuan adalah membabitkan persaingan di Parlimen Alor Gajah, Pagoh,Titiwangsa dan sebagainya.
Sebaik sahaja calon-calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya di pusat penamaan calon masing-masing, maka bermula tanggungjawab besar yang perlu dipikul.
Justeru, tempoh kempen selama 14 hari nanti bakal menentukan sama ada calon-calon yang bertanding mampu memenangi hati rakyat atau sebaliknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!