PRU15: Hujan di kebanyakan pusat penamaan calon
KUALA LUMPUR - Hujan renyai dan keadaan mendung di kebanyakan lokasi pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) awal pagi ini.
Antara kawasan yang dilaporkan hujan termasuklah di Kuala Krai, Machang dan Ketereh di Kelantan; Pekan dan Jerantut (Pahang) ; Kuala Pilah dan Seremban (Negeri Sembilan); Kota Tinggi, Johor Bahru, Ayer Hitam dan Mersing (Johor) serta ibu negara.
Pusat penamaan di Kemaman, Terengganu; Kota Tinggi, Johor dan Tambun, Perak masih mengalami hujan berterusan sejak malam semalam.
Beberapa kawasan di Sabah dan Kedah pula dilaporkan cerah seperti di Semporna, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Marudu dan Kinabatangan di Sabah serta Alor Setar dan Padang Terap, Kedah.
Seawal 6.30 pagi petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pasukan keselamatan telah mula berkumpul dan diberi taklimat tugasan di pusat penamaan calon sebelum ia dibuka pada 9 pagi.
Tidak ketinggalan petugas media yang hadir awal di pusat-pusat penamaan calon untuk meninjau suasana.
Pergerakan penyokong parti ke pusat penamaan calon masih belum bermula. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!