Gelagat penyokong 'usik mengusik' meriahkan penamaan calon
KUALA SELANGOR - Gelagat penyokong parti politik bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kuala Selangor memeriahkan suasana di pekarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor pada Sabtu.
Kelihatan penyokong politik bersorak sambil ada dalam kalangan mereka cuba 'mengusik' antara penyokong parti lawan.
Setakat jam 9.45 pagi, kerusi Parlimen Kuala Selangor, menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan penyandang iaitu, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkeflfly Ahmad.
Dzulkefly akan ditentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mewakili BN, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli dan Timbalan Yang Dipertua Pas, Mohd Noor Mohd Sahar dari Perikatan Nasional (PN).
Pada PRU14, Dzulkefly memperoleh majoriti 8,498 undi selepas meraih 29,842 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim yang mendapat 21,344 undi dan calon Pas diwakili Fakaruddin memperoleh 8,535 undi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, keadaan di pusat penamaan calon di sini dalam keadaan terkawal.
Jelas beliau, setakat ini tiada calon yang cuba menimbulkan provokasi melampau hingga mengganggu ketenteraman awam.
"Polis sendiri sudah menggerakkan 150 anggota ke pusat penamaan calon sejak jam 6.30 pagi tadi," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!