Perbezaan parti tidak halang persahabatan
MARAN - Walaupun sudah berlainan parti tidak menghalang tiga sahabat meneruskan ukhuwah mereka dan saling menyantuni antara satu sama lain.
Dua penyokong dari kem Perikatan Nasional (PN), Jamil Ibrahim, 65 dan Din Kalo, 63 datang ke kem penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk bertemu Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Maran, Bostamin Bakar, 62.
Aksi spontan mereka sempat dirakam lensa Sinar Harian yang saling bersalaman dan berbual mesra di luar Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
Ketika ditemui, ketiga-tiga mereka memberitahu, persahabatan yang berpuluh tahun masih kekal baik hingga kini biar kini masing-masing sudah berlainan parti.
Bostamin memberitahu, beliau gembira kerana masih dapat berkawan baik dengan dua sahabatnya.
"Tiada masalah, lagi pun masing-masing ada pandangan sendiri, tapi bab kawan tetap penting," kata Bostamin.
Jamil pula memberitahu, sebagai rakyat Malaysia mereka memilih semangat keharmonian dan setiakawan kekal utuh.
"Dulu sama kapal ketika Pas bersama PKR tapi kini dah berbeza tapi masing-masing dah tahu hati budi.
"Dah berpuluh tahun berkawan dan ukhuwah antara sahabat perlu dijaga walaupun berbeza ideologi politik," jelas Jamil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!