Lapan penjuru di Bangi, PRM yakin sejarah tidak berulang
BANGI - Parlimen Bangi mencatatkan pertandingan lapan penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.
Dalam pertandingan kali ini, sebanyak lima parti dan tiga calon Bebas akan bertanding.
Antara calon yang akan bertanding ialah Annuar Salleh (Pejuang), Syahredzan Johan (PH), Datuk Hoh Hee Lee (BN), Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir dan Chee Chee Meng (PRM) manakala tiga calon Bebas ialah Jamal Hisham Hashim, Suthan Mookaiah serta Muhammad Fauzi Hasim.
Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Bangi, Dr Ani Ahmad berkata, pihaknya berpuas hati dengan kertas penamaan calon yang dikemukakan.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat pada Sabtu.
Pada PRU14 lalu, Dr Ong Kian Ming (PKR) memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 68,768 dalam persaingan empat penjuru membabitkan calon daripada BN, Pas dan PRM.
Persaingan empat penjuru menyaksikan calon Pas, Mohd Shafie Ngah mendapat 33,789 undi; Kian Ming, 102,557 undi; calon PRM, Wan Jinn Woei, 215 (hilang deposit) dan calon BN, Liew Yuen Keong, 19,766 undi.
Dalam pada itu, Chee Meng melahirkan keyakinan bahawa sejarah tidak akan berulang sebagaimana pada PRU14 yang lalu apabila partinya hilang deposit.
“Kali ini sejarah tidak akan berulang lagi. Sebab kali ini PRU15 dengan calon yang baharu.
“Hasrat saya untuk memasuki pertandingan ini terutama sekali kita nak tumpukan kepada ekonomi pembangunan khususnya untuk membela nasib rakyat B20, B40 dan sebagainya. Itu yang paling penting.
“Keduanya, perpaduan rakyat dan untuk membela nasib orang tua,” ujarnya.
Sementara itu, Syahredzan pula menyifatkan pertandingan lapan penjuru di Bangi menunjukkan demokrasi di Malaysia adalah subur.
“Ada ramai yang telah mencalonkan diri dan dicalonkan. Jadi kita tidak boleh melihat ia sebagai satu perkara yang negatif walaupun sebagai calon sudah tentu kita harapkan sokongan tersebut.
“Tetapi apabila ramai macam ini maknanya rakyat akan ada pilihan yang lebih banyak untuk menentukan siapa yang akan mewakili mereka di Bangi
“Kita juga tak boleh lupa 300,000 pengundi dekat Bangi ini maknanya ada pelbagai lapisan masyarakat di Bangi,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!