Polis terima empat laporan berita palsu penemuan Acap

Gambar kecil: Hasron Nazri
Gambar kecil: Hasron Nazri
A
A
A

KAMPAR - Polis mengesahkan menerima empat laporan berhubung tular berita palsu berkaitan peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 20 hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, tiga kes berkenaan akan dirujuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya, manakala satu lagi laporan diklasifikasikan sebagai tiada kesalahan jenayah.

"Kita menerima empat laporan sejak Khamis minggu lalu dan yang terbaru adalah semalam daripada empat lelaki berusia 32 hingga 62 tahun termasuk seorang anggota penyelamat.

"Kesemua laporan tersebut adalah penafian dan rasa tidak puas hati pengadu dengan kenyataan palsu yang tular. Polis akan menjalankan siasatan dengan berlandaskan kepada fakta dan bukti dan merujuk kepada SKMM untuk penilaian dan tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Derma Darah sempena peringatan Hari Polis ke-212 di sini, hari ini.

Hasron Nazri (dua dari kiri) melihat dua anggotanya yang turut menyertai Program Derma Darah sempena peringatan Hari Polis ke-212 di Kampar, hari ini.
Hasron Nazri (dua dari kiri) melihat dua anggotanya yang turut menyertai Program Derma Darah sempena peringatan Hari Polis ke-212 di Kampar, hari ini.

Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk tidak bertindak menularkan sebarang maklumat atau berita berdasarkan persepsi sendiri menerusi media sosial.

"Laporan pertama dan kedua menjurus kepada penemuan Acap oleh anggota penyelamat selain tular kenyataan kononnya 'orang kampung yang menyorok Acap'.

"Justeru itu, lebih baik sekiranya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat maklumat tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf disedari hilang selepas tidak muncul di garisan penamat walaupun mempunyai 10 peserta yang sedang mendahului perlumbaan.

Usaha pasukan mencari dan menyelamat masih dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan PDRM serta sukarelawan walaupun tiada petunjuk baru ditemui setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!