Berkerusi roda lebih 500 meter iringi calon
MARANG - Walaupun terpaksa berkerusi roda lebih 500 meter, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) tetap bersemangat hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Marang bagi mengiringi calon Pas yang bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Zamidah Mohamad, 54, dari Binjai Rendah di sini berkata, dia tiba di situ seawal jam 7.30 pagi ditemani rakan, Nor Zalida Mohamad, 42.
"Disebabkan tidak boleh masuk ke kawasan ini kerana jalan ditutup, kami terpaksa parkir kenderaan di luar perlu berkerusi roda ke sini pada jarak sekitar 500 meter.
"Agak penat tapi saya berasa puas hati kerana hasrat untuk memberikan sokongan kepada calon tercapai," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di sini pada Sabtu.
Zamidah berkata, sudah menjadi rutin dia hadir untuk memberikan sokongan setiap kali proses penamaan calon pada setiap PRU.
Bagaimanapun, katanya, kali ini dia hadir dengan sedikit kelainan setelah kaki kirinya terpaksa dipotong paras betis sejak empat bulan lalu akibat penyakit kencing manis.
"Saya hidap kencing manis sejak 19 tahun. Baru empat bulan lalu kaki kiri saya dipotong dan saya kini tidak boleh berjalan.
"Walaupun begini, semangat saya tidak luntur untuk menyokong calon yang akan bertanding dalam PRU nanti," katanya.
Parlimen Marang berdepan pertembungan empat penjuru di mana penyandangnya iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Pas akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur, Jasmira Othman (BN) dan Dr Zarawi Sulong (GTA-Pejuang).
Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi dengan majoriti 21,954 menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot (31,795 undi) dan calon PH, Zarawi Sulong (5,138 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!