Kamarudin yakin pertahan kerusi Bandar Tun Razak
KUALA LUMPUR - Penyandang Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaaffar yakin mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini kerana dua pencabarnya adalah orang luar.
Kamarudin yang bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) berkata, faktor itu memberi kelebihan buatnya meraih majoriti undi walaupun berdepan calon 'top gun' Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Saya yakin pengundi juga akan memilih calon berdasarkan rekod mereka dan saya sendiri dalam tempoh lima tahun menjadi wakil rakyat di sini telah melakukan pelbagai usaha untuk manfaat rakyat.
"Jadi saya harap masih dapat mandat untuk meneruskan usaha yang telah dilakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon P124 Bandar Tun Razak di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (IDB) di sini pada Sabtu.
Beliau turut berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Chew Yin Keen yang juga Pengerusi MCA Bandar Tun Razak.
Dalam PRU14, Kamarudin yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 19,930 undi dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon BN, Adnan Seman dan calon Pas, Rosni Adam.
Kamarudin yang juga bekas Timbalan Menteri Luar kemudian meninggalkan PKR dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020 selepas kemelut politik Langkah Sheraton.
Antara kemudahan yang dibangunkan di Bandar Tun Razak dalam tempoh lima tahun menjadi wakil rakyat adalah menyediakan kawasan parkir bertingkat, menukar lif di 14 kawasan perumahan rakyat dan mengatasi masalah banjir kilat melibatkan jalan di kawasan bandar.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berharap pengundi di kawasan itu dapat memberi undi kepada PH bagi membolehkan beliau menjadi wakil rakyat dan membela kebajikan mereka.
Ditanya mengenai pertembungannya dengan Kamarudin pula, Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu tidak mahu mengulas lanjut kerana menyifatkan pemimpin itu yang meninggalkan PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!