PATI paling ramai ditahan di rumah kediaman
SHAH ALAM - Rumah kediaman merekodkan jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tertinggi pada tahun ini di seluruh negara sejak Januari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, statistik setakat 3 November merekodkan 4,745 tangkapan PATI hasil 2,748 serbuan di rumah kediaman yang dilaksanakan sekali gus tertinggi berbanding premis-premis lain.
Menurutnya, rumah kongsi dan tapak pembinaan pula mencatatkan 4,679 tangkapan PATI dengan 1,030 serbuan.
"Premis kilang adalah ketiga tertinggi tangkapan PATI dengan 3,403 orang, manakala restoran dan kedai makan dengan jumlah 6,785 orang.
"Baki tangkapan PATI selebihnya adalah membabitkan premis rumah urut, perjudian dan pusat hiburan, premis perniagaan, pasar, tempat cuci kenderaan, pengawal keselamatan serta lain-lain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan PATI yang telah ditangkap adalah seramai 19,946 orang.
Katanya, berdasarkan jumlah pecahan tangkapan PATI ini, warga Indonesia adalah tertinggi dengan 8,679 orang diikuti Myanmar (2,939), Bangladesh (2,767), Thailand (1,396) dan India (1,260).
"Selebihnya adalah membabitkan lain-lain negara seperti Filipina, Pakistan, Nepal, Vietnam dan China.
"Selain itu, imigresen turut menahan 272 orang majikan yang melindungi dan menggajikan PATI," katanya.
Tegasnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Khairul Dzaimee juga mengingatkan supaya orang ramai tidak melindungi mana-mana PATI atau berasa simpati.
"Mereka yang didapati melindungi PATI boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dilindungi," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!